AM > BERITA

1,778 Individu, 33 Syarikat Sertai Program Akademi Dalam Industri Di Negeri Sembilan

06/11/2025 03:56 PM

SEREMBAN, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,778 individu berbakat dalam pelbagai bidang dan 33 syarikat berdaftar di Negeri Sembilan, telah menyertai program Akademi Dalam Industri (ADI) yang diterajui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program berkenaan berperanan sebagai jambatan antara dunia pendidikan dan industri sekali gus memperkukuh kecekapan serta produktiviti tenaga kerja negara.

“Penyertaan memberangsangkan daripada pihak syarikat dan pelajar berbakat dalam ADI mencerminkan keyakinan industri terhadap keberkesanan pendekatan latihan berasaskan tempat kerja yang diterajui MPC.

"Usaha ini turut menyokong matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti pekerja 3.6 peratus setahun dan nisbah pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 40 peratus menjelang 2030, selaras dengan pelaksanaan dasar upah progresif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Negeri Sembilan 2025 di sini hari ini.

Aminuddin berkata pelaksanaan ADI sejajar dengan komitmen kerajaan memacu produktiviti negara melalui peningkatan kemahiran dan kompetensi tenaga kerja ke arah sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.

Mengenai karnival TVET, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata program julung kali diadakan  bertujuan mengumpulkan pelbagai agensi pendidikan awam dan swasta di peringkat sekolah dan pengajian tinggi, agensi kerajaan serta komuniti bagi memperkukuh ekosistem kemahiran di negeri ini.

"Di peringkat negeri, TVET memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan, khususnya dalam menyokong pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0.

"Selain itu pembangunan TVET juga memainkan peranan penting dalam memajukan komuniti luar bandar melalui latihan dalam bidang pertanian moden, keusahawanan, pembinaan dan pelancongan desa," katanya sambil menambah lebih 80 Pusat Bertauliah beroperasi di negeri ini.

Menurutnya, TVET memberi peluang kepada anak muda luar bandar meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan dan membina kehidupan lebih baik dengan semua pihak perlu berganding bahu menyokong dan memperkukuh ekosistem TVET di negeri itu.

Pada majlis itu, Aminuddin turut menyampaikan Anugerah Pelajar TVET Cemerlang Negeri Sembilan kepada pelajar Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan Kolej Komuniti Jelebu Muhammad Luqman Arif Hissham, 19, atas kecemerlangannya menghasilkan produk inovasi hijau berasaskan kayu terbuang.

Muhammad Luqman Arif yang ditemui berkata pencapaian tersebut hasil tunjuk ajar tenaga pengajar yang sentiasa menggalakkan pelajar untuk berkarya dan memiliki kemahiran tersendiri.

“Produk kayu yang saya hasilkan menggunakan bahan terpakai merupakan idea hasil bimbingan pensyarah yang mahu kami memanfaatkan sumber sedia ada bagi menghasilkan sesuatu yang boleh menambah pendapatan kami,” katanya yang turut menjual hasil inovasinya di kolej dan platform atas talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan