SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan nilai unit penyimpanan stok (SKU) meningkat kepada 10 juta pada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun hadapan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sasaran itu adalah wajar selepas mengambil kira SKU 6,333,529 yang direkodkan menerusi KBBM tahun ini iaitu peningkatan lebih enam kali ganda daripada SKU 1,003,765 pada 2023.
Beliau berkata angka berkenaan membuktikan akses pasaran produk tempatan semakin meluas, seiring usaha kementerian dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk memperkukuh rantaian pengedaran dalam ekosistem runcit moden dan platform digital.
“Dari segi nilai jualan pula, KBBM merekod jualan melebihi RM7.4 bilion iaitu peningkatan 13.6 peratus pada tahun lepas berbanding RM6.39 bilion pada 2023,” katanya pada sidang media selepas melancarkan KBBM peringkat Lotus's Malaysia di Lotus's Setia Alam di sini hari ini.
Mengulas pelaksanaan KBBM bersama rakan strategik industri, Fuziah berkata Lotus's Malaysia merekod nilai jualan produk tempatan melebihi RM44.2 juta pada 2024 membabitkan lebih 2,500 SKU.
Beliau berkata peningkatan 9.1 peratus berbanding tahun sebelum itu jelas menggambarkan produk tempatan mampu mendapat keyakinan daripada pengguna, di samping meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri.
“KPDN turut mengalu-alukan penyertaan lapan pembekal baharu yang kini secara rasmi menembusi rangkaian Lotus's termasuk syarikat tempatan yang berdaftar di bawah KPDN, sekali gus menjana peluang pertumbuhan baharu kepada usahawan tempatan,” katanya.
Fuziah berkata Lotus's Malaysia juga akan melancarkan Kempen Belanja dan Tebus bermula 27 Nov ini dengan tujuan memberi pulangan nilai yang lebih menguntungkan pelanggan, di samping memperkukuh permintaan terhadap produk industri kecil dan sederhana (IKS).
“KPDN komited memperkasa agenda memartabatkan produk tempatan melalui kolaborasi berstruktur bersama-sama 18 rangkaian pasar raya besar dan tiga platform e-dagang utama sebelum memperluas akses bimbingan, pensijilan dan fasilitasi pasaran kepada PMKS,” katanya.
KBBM Peringkat Lotus's Malaysia bermula hari ini sehingga Ahad dengan penglibatan 19 usahawan PMKS bersama produk masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial