AM > BERITA

Kertas Cadangan Penyasaran Subsidi Gula Sedang Disediakan - Fuziah

06/11/2025 07:32 PM

SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas cadangan berhubung mekanisme pelaksanaan insentif gula secara bersasar sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata beberapa cadangan dimasukkan ke dalam kertas cadangan itu, namun ia belum dapat didedahkan kerana pihaknya masih menunggu proses pembentangan di peringkat Kabinet.

“Kami sedang melengkapkan beberapa cadangan bagaimana mekanisme penyasaran insentif gula ini dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Sebaik sahaja selesai, kementerian akan membawa kertas ini untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Lotus's Malaysia di Lotus's Setia Alam di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri Datuk Roziah Abudin dan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi barangan keperluan utama termasuk gula, beras dan minyak masak secara berperingkat bagi mengelakkan ketirisan ketika persidangan Dewan Rakyat pada 3 Nov lepas.

Lim berkata langkah itu akan dilaksanakan selepas kajian holistik dibuat bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan tidak membebankan rakyat.

Mengulas sama ada mekanisme itu akan dilaksanakan untuk minyak masak, Fuziah berkata pihaknya masih mengekalkan pemberian minyak masak peket bersubsidi dengan kuota 60,000 tan metrik setiap bulan ke pasaran tempatan.

Beliau berkata mekanisme pemantauan melalui aplikasi mobil Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang mengkehendaki pengguna mengimbas kod QR ketika pembelian berjaya mengurangkan ketirisan pembelian oleh pihak tidak layak, termasuk warga asing.

“Rakyat Malaysia masih boleh membeli minyak masak peket bersubsidi tetapi perlu mengimbas kod QR aplikasi eCOSS. Kaedah ini membantu memastikan barangan bersubsidi sampai kepada sasaran yang tepat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan