PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia melakar satu lagi kejayaan dalam industri semikonduktor menerusi perasmian Pusat Ujian Cip Termaju yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersempena pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park (IC Park 2) yang terletak di CoPlace 9, Cyberjaya.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang menyifatkan pusat itu sebagai fasiliti ujian cip bertaraf dunia yang pertama di rantau Asia Tenggara.
Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam kenyataannya berkata pusat berkenaan turut menjadi pemangkin utama dalam usaha Malaysia membina ekosistem semikonduktor yang menyeluruh merangkumi reka bentuk, pengujian serta pengesahan cip.
"Pusat Ujian Cip Termaju ini merupakan sebahagian daripada strategi nasional untuk menempatkan Malaysia daripada hanya sekadar pengeluar cip kontrak kepada pereka dan pemilik teknologi cip tempatan," katanya.
Menurut Sidec, fasiliti itu menumpukan Pusat Pemeriksaan, Ujian dan Metrologi Cip Termaju (AIM); Pusat Reka Bentuk, Emulasi dan Prototaip Cip Termaju; Pusat Pengesahan Cip Termaju dan Robotik serta Pusat Penyelidikan dan Latihan Cip Termaju.
Rakan kerjasama antarabangsa dan tempatan yang terlibat termasuk Arm, Synopsys, AWS, Keysight, Tektronix, Cadence, Sicada, QES, Tekmark, ICESB, CADFEM, DF Automation, IIT Madras dan Shenzhen Xinhou Research Centre yang secara bersama akan membangunkan ekosisten makmal penyelidikan di bawah IC Park 2.
"Menerusi infrastruktur canggih dan tenaga pakar industri global, pusat ini akan mempercepatkan kitaran pembangunan cip sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti ujian luar negara," katanya.
Selain itu, Sidec berkata IC Park 2 di Cyberjaya merupakan kesinambungan daripada kejayaan IC Park pertama di Puchong yang dirasmikan pada Ogos 2024 dan kini menempatkan 14 syarikat dengan lebih 200 jurutera tempatan dan antarabangsa.
Pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi juga merupakan langkah strategik dan tepat pada masanya memandangkan bandar itu mempunyai penumpuan syarikat teknologi tertinggi di Malaysia serta menawarkan persekitaran ideal untuk tujuan kolaborasi dan inovasi yang menjanjikan limpahan manfaat besar kepada kalangan pemain ekosistem.
Selain itu, Sidec memaklumkan pemilihan Cyberview Sdn Bhd sebagai pemaju hab teknologi Cyberjaya yang berperanan penting dalam memajukan landskap inovasi negara dan menyokong penuh inisiatif itu bagi memperkukuh kedudukan Cyberjaya sebagai pusat pembangunan teknologi berimpak tinggi negara.
"Fasa terbaharu di Cyberjaya ini bukan sahaja akan menambah ruang penyelidikan dan pembangunan, tetapi turut menempatkan Advanced Semiconductor Malaysia Academy (ASEM) iaitu pusat latihan lanjutan untuk melahirkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh 10 tahun," katanya.
Majlis hari ini turut meraikan graduasi tujuh kohort latihan semikonduktor di bawah ASEM yang melibatkan ratusan pelajar kejuruteraan yang telah melalui program intensif bersama industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial