AM > BERITA

META Gagal Tangani Iklan Penipuan, Perlu Beri Penjelasan Laporan Reuters - Fahmi

07/11/2025 06:07 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Syarikat gergasi teknologi Meta perlu memberikan penjelasan penuh berhubung laporan agensi berita antarabangsa Reuters yang mendakwa 10 peratus sumber keuntungannya berpunca daripada pengiklanan aktiviti haram seperti penipuan dan judi dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata laporan tersebut membimbangkan kerana Meta didakwa menerima hasil daripada iklan melibatkan aktiviti haram yang menyalahi undang-undang Malaysia.

"Laporan agensi Reuters agak terperinci memberikan angka berdasarkan apa yang dipercayai merupakan dokumen dalaman pihak Meta sendiri.

“Sekiranya benar, ini amat membimbangkan kerana memberi bayangan bahawa antara sumber keuntungan bagi Meta itu adalah aktiviti haram, aktiviti yang melanggar undang-undang termasuk di Malaysia,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata setakat ini belum ada kenyataan yang memberangsangkan daripada pihak Meta berhubung laporan berkenaan, selain penafian bahawa angka-angka yang dinyatakan tidak dalam konteks sebenar.

“Tapi ini tidak memadai, saya kesal laporan ini keluar semalam... Sudah pasti laporan yang sangat menggemparkan ini akan kita teliti dan menjadi asas untuk kita memanggil pihak Meta memberi penjelasan penuh,” katanya.

Laporan Reuters mendedahkan bahawa Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp, meramalkan bahawa 10 peratus daripada pendapatan keseluruhannya pada 2024, iaitu kira-kira US$16 bilion, berasal daripada iklan penipuan dan barangan yang dilarang.

Menurut laporan berkenaan, sebilangan dokumen dalaman Meta yang belum pernah dilaporkan menunjukkan bahawa gergasi media sosial itu gagal mengenal pasti dan menghentikan iklan yang mendedahkan berbilion pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp kepada skim e-dagang dan pelaburan tipu, judi dalam talian haram, serta penjualan produk perubatan terlarang.

Secara purata, satu dokumen bertarikh Disember 2024 menyatakan, syarikat itu menyalurkan sekitar 15 bilion iklan "berisiko lebih tinggi” yang menunjukkan tanda-tanda jelas penipuan kepada pengguna platformnya.

Berkaitan isu sama, Fahmi berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan proses penurunan kandungan berisiko oleh Meta kerana ia mengambil masa agak lama.

Beliau berkata setiap permohonan untuk menurunkan kandungan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit.

“Dari 1 Jan hingga 15 Okt lepas, secara keseluruhan  MCMC telah menghabiskan lebih kurang 22.2 tahun bekerja menghantar permohonan kepada Meta untuk diturunkan kandungan scam (penipuan) dan judi dalam talian," katanya.

Fahmi berkata apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) berkuat kuasa kelak, platform media sosial diwajibkan untuk memastikan kemudaratan dalam talian seperti aktiviti penipuan dan judi tidak lagi dapat diakses di Malaysia.

“Sekiranya mereka gagal, tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan