KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Cadangan memperkenalkan semula pendidikan tasawuf berasaskan nilai murni dalam sistem pendidikan negara wajar dipertimbangkan bagi membentuk masyarakat beretika dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran era teknologi serta kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi melihat kesesuaian untuk dimasukkan semula dalam kurikulum atau sukatan pelajaran sedia ada.
“Kita sedang merangka semula kurikulum dan sukatan pelajaran, jadi ini masa yang sesuai (untuk meneliti cadangan itu) sebab cabaran sekarang datang dengan teknologi, khususnya AI.
“Kita perlu menanamkan etika dan nilai kepada masyarakat kerana walaupun ada teknologi, kita mesti bertanggungjawab berpaksikan nilai negara dan nilai kemanusiaan dalam Malaysia itu sendiri,” katanya kepada pemberita di Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 2.0 Peringkat Sarawak 2025 di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pengenalan semula unsur pendidikan tasawuf penting bagi mendidik generasi muda memahami masyarakat majmuk yang berlainan agama di negara ini serta kesan daripada setiap tindakan yang dilakukan.
“Kita mahu anak-anak ini diasuh dari awal supaya mereka faham nilai budaya yang sesuai dengan latar belakang masyarakat kita yang berbeza-beza. Apa yang kita buat ada implikasi, dan itu yang perlu difahami,” katanya.
Beliau berkata sekiranya subjek tasawuf itu tidak dapat diperkenalkan secara formal, ia masih boleh dijadikan sebahagian daripada kokurikulum atau program pembangunan sahsiah pelajar di sekolah.
“Biasanya kita akan memperkenalkan subjek ini bermula dari sekolah rendah hingga menengah, tetapi kalau tidak secara formal pun, ia patut dijadikan tumpuan dalam program lain bagi menyemai nilai sesuai dengan budaya dan latar belakang negara,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata kekuatan sebenar negara terletak pada keupayaan memanusiakan masyarakat melalui nilai kasih sayang, keadilan dan ilmu, bukan sekadar kemajuan fizikal semata-mata.
Beliau berkata gagasan Malaysia MADANI menekankan pembangunan bersepadu yang bukan sahaja mengutamakan kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga kesejahteraan moral dan spiritual rakyat.
“Di Sarawak, kepelbagaian kaum, agama dan budaya hidup harmoni membuktikan bahawa kesatuan sebenar lahir daripada saling menghormati dan memuliakan perbezaan. Ini asas yang perlu diterapkan dalam setiap aspek pendidikan dan pembangunan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial