AM > BERITA

Penjawat Awam Wanita Cerminan Kepimpinan Berintegriti Dan Empati - Nancy

08/11/2025 06:04 PM

KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Kepimpinan berkesan dalam perkhidmatan bergantung bukan sahaja kepada ilmu dan kecekapan tetapi juga nilai kemanusiaan seperti integriti, empati dan semangat berpasukan yang sering ditonjolkan oleh penjawat awam wanita dalam pelaksanaan tugas seharian.

Menyedari potensi itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya komited memperkasakan kepimpinan wanita bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga dalam masyarakat melalui pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan.

Beliau berkata menerusi Jabatan Pembangunan Wanita, antara inisiatif yang dijalankan ialah Program Perantis, Program Gig@BIT, dan Program Kirana di seluruh negara bagi memberi peluang kepada wanita meningkatkan ilmu, kemahiran serta daya saing dalam pelbagai bidang.

“Program Perantis, contohnya merupakan platform bimbingan kepimpinan yang bertujuan melahirkan wanita berwibawa dalam bidang ekonomi, politik dan teknologi,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak Amazing Race 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata melalui program ini, peserta berpeluang berguru secara langsung dengan tokoh wanita bagi membina keyakinan untuk memimpin dan memberi impak positif dalam komuniti serta organisasi masing-masing.

Nancy turut meminta penjawat awam wanita, khususnya di Sarawak mengambil peluang menyertai Program Perantis bagi memupuk sifat dan kemahiran kepimpinan dalam diri mereka.

“Bermula tahun lepas, kita telah memulakan projek rintis dengan peruntukan RM5 juta, namun hanya seorang peserta dari Sarawak yang terlibat. Saya berharap tahun ini kita dapat menambah sekurang-kurangnya empat lagi peserta dari negeri ini supaya lebih ramai wanita Sarawak mendapat manfaat,” katanya.

Beliau turut berharap melalui program itu, penjawat awam wanita terus diberi ruang untuk berkembang bukan sahaja bagi kemajuan diri tetapi juga untuk memperkukuh perkhidmatan awam yang lebih cekap, inklusif dan manusiawi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan