PASIR MAS, 8 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperluas pelaksanaan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana dengan membenarkan bayaran dibuat setiap tiga bulan sekali berbanding sebelum ini hanya sekali dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jefny Muhammad berkata langkah penambahbaikan itu bertujuan memastikan mangsa yang terkesan berulang kali tetap menerima bantuan sewajarnya.
“Sebelum ini bantuan hanya diberi sekali dalam tempoh MTL tetapi kini di luar tempoh MTL pun boleh buat tuntutan setiap tiga bulan.
“Sebagai contoh, jika rumah mangsa dilanda bencana pada November, mereka layak menerima bantuan RM1,000. Sekiranya bencana lain berlaku selepas tiga bulan, contohnya pada Mac mereka layak sekali lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Kesiapsiagaan Bencana Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Tasek Gondang, Rantau Panjang di sini.
Beliau menjelaskan BWI tidak terhad kepada bencana banjir sebaliknya turut merangkumi ribut, tanah runtuh dan bencana alam lain yang menyebabkan kediaman rosak atau musnah.
“BWI ini sebenarnya untuk semua jenis bencana, bukan banjir semata-mata. Asalkan rumah terjejas akibat bencana mereka boleh memohon.
“Tatacara baharu pemberian BWI telah dimasukkan di bawah sistem MyIBJKM bagi memudahkan pendaftaran serta semakan kelayakan oleh mangsa, dan pembayaran kini akan dibuat secara automatik ke akaun bank mangsa melalui Bank Simpanan Nasional atau bank lain yang berdaftar,” katanya.
Beliau berkata apa yang penting mereka perlu mendaftar dalam sistem MyIBJKM lebih awal bagi memudahkan urusan pemindahan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan rekod mangsa.
Mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan menghadapi MTL, Jefny berkata semua agensi keselamatan telah diselaraskan oleh NADMA dan kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.
“MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) telah mengeluarkan amaran awal bahawa MTL bermula pada 6 Nov lalu dan keadaan ini akan berterusan dari semasa ke semasa.
“Sebagaimana kita sedia maklum, Thailand juga telah mengeluarkan amaran awal banjir semalam. Dari segi persiapan, kita telah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata semua negeri juga telah mengadakan mesyuarat pengurusan bencana masing-masing bagi memperkemas persiapan menghadapi kemungkinan banjir selain memastikan peruntukan mencukupi di peringkat negeri.
Selain itu, beliau berkata peruntukan bagi operasi pengurusan bencana juga telah disalurkan oleh NADMA kepada semua negeri dan agensi pelaksana di peringkat negeri.
Sementara itu, Jefny berkata lebih 62,000 ketua isi rumah (KIR) di Kelantan telah berdaftar dalam aplikasi MyIBJKM setakat 31 Okt lepas.
Beliau berkata jumlah itu merupakan pendaftaran awal dan dijangka terus meningkat apabila lebih ramai mangsa mula mendaftar.
“Pendaftaran ini penting untuk rekod dan penyaluran bantuan. Apabila berlaku bencana, mangsa boleh hadir ke PPS atau lokasi yang diwartakan oleh JKM untuk mendaftar sebagai mangsa bencana,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial