KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas kerjasama dengan entiti sektor peruncitan bagi inisiatif digitalisasi dan ketelusan data harga, dengan penyertaan dua pasar raya di Sabah hari ini.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua entiti sektor peruncitan di Sabah, iaitu Pasar Raya Bataras Sdn. Bhd. dan Pasar Raya CKS Retail Sdn. Bhd., bagi melaksanakan inisiatif perkongsian sukarela maklumat harga ke dalam aplikasi PriceCatcher.
“Kerjasama ini sebahagian daripada usaha berterusan KPDN untuk memperluas jaringan rakan strategik sektor peruncitan dalam inisiatif digitalisasi dan ketelusan maklumat harga barangan.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan akses pengguna terhadap maklumat harga barangan di pasaran bagi membantu mereka membuat semakan dan panduan perbelanjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata inisiatif perkongsian maklumat harga secara automasi ini mula dilaksanakan setahun lepas dengan penyertaan Pasar Raya MYDIN dan Redtick, sebelum diperluas ke Sabah.
Aplikasi PriceCatcher kini memaparkan harga bagi 316 barangan keperluan utama yang dikemas kini secara harian, mingguan dan bulanan, meliputi kategori seperti barangan segar, kering, berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.
Setakat 31 Okt 2025, aplikasi itu telah dimuat turun lebih 590,000 kali dan mencatat purata 10,000 pengguna aktif seminggu di seluruh negara.
“Sebelum ini, maklumat harga dalam aplikasi PriceCatcher diperoleh sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan, menyebabkan data terhad dari segi liputan kawasan dan bilangan premis.
“Melalui pelaksanaan MoU ini, entiti sektor peruncitan kini tampil secara sukarela membekalkan maklumat harga barangan secara automasi ke dalam sistem PriceCatcher,” katanya.
Beliau berkata langkah itu dapat memperluas liputan data harga serta membantu pengguna di Sabah mendapatkan maklumat harga secara masa nyata.
KPDN akan terus menggalakkan lebih banyak pasar raya dan premis runcit menyertai inisiatif ini bagi menjayakan agenda digitalisasi dan ketelusan maklumat harga untuk manfaat pengguna.
Sementara itu, Armizan turut menggesa penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) memanfaatkan inisiatif Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0 yang bertujuan memperkukuh jaringan perlindungan sosial golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata PTV 3.0 yang bermula pada 1 Sept 2025 menawarkan baucar bernilai RM30 kepada dua juta penerima STR untuk membeli produk asas insurans dan takaful yang ditawarkan oleh pengendali berlesen hingga 31 Dis 2025 atau sehingga semua baucar ditebus.
“Selaras dengan komitmen kerajaan untuk terus meringankan kos sara hidup rakyat, hari ini KPDN dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menganjurkan Program Siri Takaful di Papar, Sabah.
“Inisiatif ini membantu memperluas capaian, meningkatkan kefahaman serta menggalakkan pengambilan produk perlindungan asas insurans dan takaful mampu milik dalam kalangan rakyat,” katanya.
Armizan berkata program berkenaan memberi fokus kepada penebusan baucar PTV 3.0 oleh penerima STR, dan hingga 11 Nov 2025, sebanyak 18,826 penerima STR telah menebus dan membeli produk asas takaful dan insurans melalui syarikat terpilih di bawah program itu.
Penerima STR boleh mendaftar dan menebus baucar melalui portal MyCoverage sebelum tarikh tamat program.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial