AM > BERITA

Lubang Benam Isyarat Untuk Fokus Pengurusan Aset Utiliti Bawah Tanah Di Pulau Pinang

11/11/2025 05:25 PM

GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Kejadian lubang benam yang kerap berlaku di beberapa bandar termasuk di Pulau Pinang sejak kebelakangan ini, telah mencetuskan kebimbangan penduduk khususnya pengguna jalan raya terhadap risiko keselamatan.

Insiden terbaharu di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, Bayan Lepas baru-baru ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar memberi perhatian serius terhadap pengurusan infrastruktur bawah tanah yang kian uzur.

Pakar Kejuruteraan Prof Madya Dr Norhidayah Abdul Hassan menyarankan agar kerajaan mewujudkan program pengurusan aset utiliti bawah tanah secara berstruktur dan berasaskan risiko termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap paip lama sebagai program berkala nasional di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang.

Pensyarah Kumpulan Kajian Turapan dan Pengangkutan (PTRG), Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata infrastruktur yang telah berusia perlu dinilai menggunakan kaedah moden seperti ujian kebocoran tekanan serta imbasan geofizik, bagi mengesan rongga atau kehilangan sokongan tanah sebelum kegagalan berlaku.

“Bagi mengelakkan kejadian lubang benam berulang, kerajaan negeri juga disaran untuk mengutamakan kerja menaik taraf paip lama di kawasan berisiko tinggi dan menambah baik spesifikasi kerja korekan.

“Selain itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperkukuh koordinasi teknikal supaya kebocoran dapat dikesan serta dibaiki lebih awal,” katanya kepada Bernama.

Norhidayah juga menyifatkan langkah PBAPP dan IWK menaik taraf rangkaian paip lama sebagai tindakan tepat dan selari dengan amalan terbaik industri, kerana penggantian paip generasi lama kepada sistem paip moden mampu mengurangkan risiko kebocoran, meningkatkan keutuhan struktur utiliti bawah tanah terhadap tekanan luar seperti beban trafik serta keadaan tanah.

Beliau menjelaskan faktor utama pembentukan lubang benam di kawasan jalan raya bandar ialah kebocoran utiliti bawah tanah khususnya paip air atau pembetungan, yang mampu menghakis tanah sokongan di bawah turapan.

Norhidayah berkata apabila berlaku kebocoran berterusan, aliran air bawah tanah akan membawa keluar partikel halus daripada lapisan asas dan subgred, sekali gus membentuk rongga yang tidak dapat dilihat dari permukaan.

“Apabila rongga ini membesar dan tanah kehilangan sokongan, lapisan turapan tidak lagi mampu menampung beban trafik dan akhirnya runtuh menjadi lubang benam.

“Kejadian ini semakin kerap berlaku di kawasan bandar padat kerana rangkaian paip yang telah berusia, jumlah trafik yang tinggi, serta keadaan tanah aluvium lembut di kawasan pesisir seperti Pulau Pinang yang lebih mudah terjejas apabila berlaku rembesan atau kebocoran air bawah tanah,” katanya.

Beliau berkongsi bahawa kebanyakan paip lama yang beroperasi lebih 50 tahun, sememangnya terdiri daripada bahan generasi lama seperti besi tuangan (CI) dan simen asbestos (AC), yang secara teknikalnya mempunyai risiko lebih tinggi terhadap kakisan, rekahan sambungan dan kehilangan integriti struktur, terutama di kawasan tanah aluvium lembut serta terdedah kepada getaran trafik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Dr Nor Azmi Bakhary pula mencadangkan supaya mewujudkan pangkalan data bersama semua utiliti bawah tanah (GIS), bagi memudahkan penyelarasan antara agensi dan memperketat standard kerja gali serta penambakan semula.

Beliau turut menyarankan pelaksanaan pelan penggantian paip lama secara berperingkat dan audit lapangan yang telus, kerana ia bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah mengurangkan beban kewangan besar pada masa depan.

“Sistem paip air dan kumbahan yang berusia lama, ditambah dengan kerja penyelenggaraan lapangan yang lemah, turut mempercepat kegagalan struktur tanah, justeru kerajaan negeri wajar memperkenalkan pengurusan aset bawah tanah berasaskan risiko, serta pemantauan berkala menggunakan teknologi pengesanan kebocoran dan Radar Penembus Tanah (GPR).

“Penggunaan bahan geosintetik seperti geotekstil dan geogrid dalam pembinaan serta pembaikan jalan juga boleh mengurangkan risiko mendapan,” katanya.

Kejadian lubang benam berukuran 5 meter (m) panjang dan 3.5m lebar serta berdiameter 1.9m di Jalan Dato Ismail Hashim pada 4 Nov, dipercayai berpunca akibat paip bocor sehingga berlaku kebocoran air di bawah tanah di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, Jalan Burma di George Town juga terjejas akibat kejadian mendapan tanah pada 21 Sept, apabila paip berdiameter 300 milimeter (mm) milik IWK pecah secara tiba-tiba, hingga menyebabkan kerosakan serius pada permukaan jalan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan