TUARAN, 15 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli dalam parti komponennya yang bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata beliau perkara itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku pertembungan sama ada dengan calon PGRS sendiri atau dengan parti komponen dalam GRS.
"Bagi parti-parti yang friendly contest itu kita boleh terima, tetapi bagi ahli-ahli PGRS dan GRS yang bertanding calon Bebas, kita akan ambil tindakan untuk pecat mereka daripada parti.
"Ini kita tidak boleh bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Pantai Dalit, Kiulu dan Tamparuli di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.
Hajiji berdepan pertandingan lima penjuru di DUN Sulaman pada pilihan raya kali ini dan dicabar calon muda serta muka baharu daripada Barisan Nasional (BN) Dr Shahnon Rizal Thaijuddin, Mokhtar Hussin (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).
Pada PRN lepas, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti 3,099 undi dalam persaingan tiga penjuru.
Sementara itu, Hajiji berkata beliau yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan.
"Inilah demokrasi. Semua boleh bertanding. Tetapi, saya amat yakin GRS akan menang dengan majoriti besar di kawasan Sulaman," kata Hajiji yang telah menyandang kerusi itu sejak 1990.
Beliau juga yakin GRS dan Pakatan Harapan akan membentuk kerajaan pada 29 Nov ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
| PENCALONAN/NOMINATION - SABAH | ||||||||||
| N12: SULAMAN: SABAH: 18,352 | ||||||||||
|
||||||||||
| (2020: Datuk Seri Hajiji Noor: PN-Bersatu: Maj: 3,099) |
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial