AM > BERITA

Karnival MyPesara Perkukuh Kebajikan Pesara, Perkenal Robot Maya 'KIAH'

15/11/2025 07:48 PM

KOTA BHARU, 15 Nov (Bernama) -- Karnival MyPesara bukan sekadar acara tahunan tetapi menjadi platform penting dalam memperkukuh kebajikan pesara kerajaan, memodenkan perkhidmatan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta menghubungkan semula penjawat awam dengan akar umbi menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata Kelantan dipilih bagi menganjurkan karnival tiga hari itu, yang julung kali diadakan di Pantai Timur, kerana negeri berkenaan mempunyai jaringan komuniti yang kukuh.

Ini termasuk 10 sekolah di bawah program Sekolah Angkat MADANI dan sebuah kampung angkat di bawah program Santuni MADANI di Bachok.

Beliau berkata KWAP turut memfokuskan usaha menjaga kebajikan pesara melalui program Jelajah MyPesara yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Program berkenaan melibatkan ziarah ke seluruh negara bagi menyantuni pesara termasuk yang uzur.

“Dalam jelajah itu, kami bukan hanya datang melawat tetapi turut memenuhi keperluan mereka. Ada yang memerlukan kerusi roda, tongkat atau barangan keperluan tertentu. Kita cuba bantu sedaya upaya,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Peluncuran MyPesara 2025, di sini hari ini.

Nik Amlizan berkata aktiviti riadah yang dianjurkan pagi tadi turut menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 2,000 peserta termasuk keluarga.

“Kami mahu mengingatkan pesara bahawa hidup aktif selepas bersara sangat penting bukan sahaja untuk tubuh badan tetapi juga untuk pengisian jiwa dan minda,” katanya.

Dalam usaha memodenkan perkhidmatan kepada pesara, KWAP akan memperkenalkan KIAH, iaitu robot maya berasaskan AI yang mampu berinteraksi dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk menjawab pelbagai persoalan berkaitan pencen dan perkhidmatan persaraan.

“KIAH bermaksud KWAP Is Always Here dan ia dibangunkan sebagai teman digital pesara yang boleh menjawab soalan seperti tarikh pembayaran pencen, status tuntutan dan lokasi perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata KIAH kini di peringkat akhir pembangunan dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada Januari tahun depan sebelum dimasukkan dalam aplikasi MyPesara.

“Hasrat saya ialah melihat KIAH mempunyai variasi dialek seperti Kelantan, Sarawak, Pulau Pinang dan Kedah namun itu akan dibangunkan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pemilihan Bachok sebagai kampung angkat di bawah program Santuni MADANI, beliau berkata lokasi itu dipilih berdasarkan asal-usul keluarga pegawai di bawah Kementerian Kewangan sebagai usaha menghubungkan penjawat awam dengan komuniti.

“Tujuan utamanya adalah supaya warga kerajaan tidak lupa akar umbi. Kita kembali ke kampung asal, melihat keperluan penduduk dan membantu semampu yang ada,” katanya.

Beliau berkata inisiatif berkenaan akan terus diperluas bagi memastikan hubungan komuniti dan penjawat awam kekal utuh serta memberikan manfaat jangka panjang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan