KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Turkmenistan mengadakan perbincangan bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala yang terjalin lebih tiga dekad, antaranya dalam bidang halal, sumber asli serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan itu diadakan bersama Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia Muhammetnyyaz Mashalov yang mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata perbincangan turut merangkumi bidang pelaburan, pelancongan serta kerjasama dalam sektor teknikal dan latihan kemahiran.
“Turkmenistan merupakan antara rakan penting Malaysia di rantau Asia Tengah dengan pelaburan strategik Petronas, yang merupakan antara syarikat pelabur luar terbesar di sana.
“Hubungan erat ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap potensi kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan hormat Mashalov dan berharap hubungan baik Malaysia-Turkmenistan akan terus berkembang demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial