DUNIA > BERITA

KOREA SELATAN REKOD SATU LAGI KES SELESEMA BURUNG DI LADANG TERNAKAN

17/11/2025 07:56 PM

SEOUL, 17 Nov (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan pada Isnin melaporkan satu lagi kes selesema burung (AI) di sebuah ladang ternakan ayam di wilayah Gyeonggi Selatan, menjadikannya kes kelima sejak musim sejuk bermula, lapor Agensi Berita Yonhap.

Virus H5N1 itu dikesan di sebuah ladang di Hwaseong, kira-kira 60 kilometer di selatan Seoul, yang sebelum ini mencatatkan dua kes selesema burung dalam tempoh lima tahun lalu, menurut Pusat Pengurusan Bencana Pusat (CDMH).

Ini merupakan kes kelima AI berpatogen tinggi di negara itu sejak September dan merupakan kes kedua melibatkan ladang ternakan ayam.

CDMH memaklumkan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan kuarantin khas di sekitar 230 ladang ayam yang pernah terlibat dengan kes selesema burung sebelum ini, selain memperketat pemantauan terhadap kenderaan yang memasuki kawasan ladang terjejas bagi mencegah penularan penyakit.

“Beberapa kes selesema burung di ladang ternakan baru-baru ini banyak dikesan di wilayah Gyeonggi Selatan.

“Namun dengan ketibaan burung migrasi musim sejuk dan pengesanan AI berpatogen tinggi dalam kalangan burung liar di enam wilayah, risiko penularan adalah tinggi di mana-mana sahaja dalam negara,” kata pegawai Kementerian Pertanian yang bertanggungjawab terhadap dasar kuarantin, Lee Dong-sik dalam kenyataan akhbar.

Lee menyeru semua pekerja ladang ternakan dan individu berkaitan di seluruh negara supaya terus berwaspada dan mematuhi langkah kuarantin dengan ketat, termasuk kawalan keluar masuk individu serta kenderaan ke ladang dan langkah pembasmian kuman.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan