GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang memperkenalkan penggunaan aplikasi sistem dalam talian Penang Information And Complaints System (ePINTAS)-State Environmental Health Action Plan (SEHAP) bagi memantau kes denggi di negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembangunan aplikasi ePINTAS-SEHAP adalah platform bersepadu yang mengintegrasikan aplikasi ePINTAS di bawah tadbir urus kerajaan negeri dengan modul pengurusan serta pemantauan kes denggi yang dibangunkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
"Hasil integrasi itu bukan sahaja memperkemas aliran kerja antara agensi, malah mewujudkan sistem pemantauan yang lebih cekap dan responsif selain dapat laksana proses pengesanan lebih pantas kerana setiap perkembangan data dikemas kini secara serta-merta pada peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Proses semakan dan pengesahan juga menjadi lebih teratur, membolehkan tindakan susulan dibuat secara tepat, manakala kemampuan aplikasi itu untuk memaparkan maklumat lokasi, status kes dan tindakan lapangan secara digital turut memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ePINTAS-SEHAP di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin.
Chow berkata inisiatif itu turut menjana penjimatan kos kerajaan sebanyak RM170,000 setahun melalui penggunaan aplikasi sedia ada yang digabungkan dengan modul baharu tanpa perlu membangunkan sebuah sistem yang baharu.
Usaha itu yang pertama di Malaysia yang menggabungkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT dalam satu aplikasi bersepadu untuk menyokong pengurusan kesihatan alam sekitar secara holistik.
Mengenai situasi semasa kes denggi di Pulau Pinang, beliau memakluman untuk Minggu Epid (ME), iaitu 9 hingga15 Nov, sebanyak 58 kes direkodkan berbanding 45 kes pada minggu sebelumnya yang menunjukkan peningkatan 13 kes atau 29 peratus.
“Secara keseluruhan hingga 15 Nov, jumlah kumulatif kes denggi ialah 1,687 kes, iaitu penurunan 59 peratus berbanding 4,069 kes dalam tempoh sama tahun lepas, manakala kes kematian turut menunjukkan perkembangan baik apabila hanya empat kes dilaporkan berbanding lapan kes pada 2024.
“Ini menggambarkan keberkesanan pengesanan awal dan tindakan respons yang lebih cepat, namun masih terdapat 12 wabak aktif di negeri ini, iaitu lapan di Timur Laut, tiga di Barat Daya dan satu di Seberang Perai Tengah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial