AM > BERITA

Destinasi Makan-Makan Selamat Pahang Dijangka Tarik Pelancong Melalui Premis Diiktiraf

18/11/2025 08:43 PM

KUANTAN, 18 Nov (Bernama) -- Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) yang diperkenalkan tahun ini dijangka berupaya menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati masakan Pahang khususnya di lokasi premis makanan yang telah diiktiraf.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim berkata pelancong tempatan atau luar negara akan lebih yakin terhadap premis makanan berkenaan kerana mencapai tahap kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang. 

Beliau berkata setakat ini sebanyak 52 premis makanan telah menerima sijil pengiktirafan dan plak daripada Kerajaan Pahang berdasarkan empat komponen asas penilaian.   

"Program ini merupakan pendekatan baharu dalam penambahbaikan sistem pemantauan kesihatan di premis makanan dan promosi lokasi makanan yang popular di Pahang.

"Empat perkara yang dinilai dalam program ini ialah kebersihan dan keselamatan makanan, pemantauan halal/syariah asas, pematuhan (peraturan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada sidang media selepas merasmikan program DMMSNP di sini hari ini.

Razali berkata usaha itu secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, sekali gus mempromosikan Pahang sebagai destinasi makanan popular bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.  

"Program ini tidak hanya dilaksanakan oleh JKN Pahang, tetapi dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain. 

"Sebanyak lima premis makanan yang dipilih dari 11 daerah di Pahang menjadikan bilangan keseluruhan 55 premis makanan, bagaimanapun tiga lagi premis akan diberikan sijil itu kemudian," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 10,188 premis makanan yang beroperasi di seluruh Pahang telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa JKN Pahang setakat Oktober lepas.

"Daripada jumlah yang diperiksa, sebanyak  9,882 premis mendapat pengiktirafan sebagai bersih, manakala terdapat 306 premis diarah tutup tidak lebih 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"JKN Pahang juga mengeluarkan 4,767 notis 32B Akta Makanan 1973 dan mengutip kompaun bernilai lebih RM1.29 juta," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan