GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) mengambil beberapa inisiatif menambah baik Rumah MutiaraKu (RMKu) termasuk memendekkan tempoh menunggu permohonan tawaran kepada tiga hingga enam bulan dari tarikh permohonan dikemas kini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata kerajaan negeri mengambil maklum berkaitan tempoh menunggu yang agak lama bagi mendapat tawaran terutama bagi unit Rumah Kos Rendah (RMKu A) dan Rumah Kos Sederhana Rendah (RMKu B).
Sehubungan itu, beliau berkata LPNPP telah melaksanakan proses pemurnian data Sistem Maklumat Perumahan (SMP) dengan sebahagian besar pemohon yang pernah berdaftar, hilang kelayakan berikutan beberapa faktor khususnya disebabkan had pendapatan isi rumah semasa.
“Semua pemohon yang masih berminat dan berkelayakan perlu mengemas kini kesemua data semasa bagi membolehkan pemohonan kekal aktif manakala pemohon yang gagal berbuat demikian akan dikategorikan sebagai pemohon tidak aktif dan tidak akan dipertimbangkan untuk ditawarkan.
“Perkara ini dapat mengurangkan jumlah permohonan dan masa menunggu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini bagi menjawab pertanyaan Bukhori Ghazali (PN-Pinang Tunggal) mengenai garis panduan memohon RMKu A, RMKu B dan RMKu C serta usaha untuk mengurangkan tempoh menunggu.
Sundarajoo memaklumkan sehingga kini, jumlah permohonan senarai menunggu ialah 6,249 dalam SMP LPNPP sementara jumlah RMKu A dan RMKu B yang siap dibina sejak 2020 ialah 8,567 unit meliputi 3,420 unit RMKu A dan 5,147 unit RMKu B, setakat bulan lepas.
RMKu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan rumah kepada penduduk berpendapatan rendah dan masih belum memiliki rumah selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial