PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Penyertaan saintis muda dalam pelbagai platform antarabangsa memberikan nilai besar kepada pembangunan modal insan saintifik negara, di samping memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan dan diplomasi sains Malaysia.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ruziah Shafei berkata penyertaan itu juga dapat membantu membudayakan sains merentas pelbagai lapisan masyarakat termasuk inisiatif yang memperkasakan bakat saintis muda.
“MOSTI komited untuk membuka lebih banyak peluang penyertaan di peringkat antarabangsa demi melahirkan generasi saintis yang mampu memacu inovasi serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem sains global,” katanya.
Ruziah berkata demikian semasa sesi pertemuan bersama dua saintis muda Malaysia yang menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman serta seorang peserta Program Pelajar Musim Panas Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN) (CSSP) 2025 di Switzerland, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) Hazami Habib dan Ketua Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi ASM Dharshene Rajayah.
Ruziah turut merakamkan penghargaan atas pencapaian ketiga-tiga saintis berkenaan yang telah membawa nama Malaysia ke pentas sains antarabangsa.
Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 berlangsung dari 29 Jun hingga 4 Julai lepas menghimpunkan 35 Penerima Hadiah Nobel dan lebih 600 saintis muda dari 84 negara.
Dua wakil Malaysia bagi program berkenaan, Penyelidik Saintis Universiti Teknologi Petronas Dr Nur Diyan Mohd Ridzuan dan Pensyarah kanan, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar telah menyertai pelbagai sesi termasuk syarahan Nobel Laureate, perbincangan panel dan sesi dialog terbuka antara saintis muda serta penerima Hadiah Nobel.
Bagi Program CSSP bermula Jun hingga September lepas, Malaysia diwakili pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Fizik Teoritikal di Lancaster University, United Kingdom, Muhammad Aiman Zulkipli.
Sepanjang program itu, Muhammad Aiman telah menjalankan tugasan penyelidikan sebenar bersama lebih 150 saintis muda antarabangsa di pusat fizik zarah terkemuka dunia, CERN.
Berkongsi pengalaman dengan Bernama, Ana Masara, 34, berkata penyertaannya ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 membolehkannya berkongsi dengan masyarakat tentang kepentingan aktiviti penyelidikan berkaitan sains dan teknologi.
“Kita nak beritahu kepada rakyat bahawa penyelidikan yang kita buat selama ini bukan hanya untuk diri sendiri sebaliknya untuk pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Bagi Nur Diyan, 30, mesyuarat berkenaan menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan dalam aspek komunikasi sains bagi membolehkan beliau berkongsi kepada masyarakat tentang kepentingan sains dan teknologi.
“Kita sebagai science communicator kena jadi orang yang boleh memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bidang sains dan teknologi. Selain itu, saya juga dapat belajar bagaimana menjadi penyelidik beretika,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Aiman, 30, berkata program yang disertai itu membolehkannya mengembangkan ilmu pengetahuan sebelum berkongsi dengan masyarakat.
“Saya dapati program ini memang sesuai untuk saya yang suka mengkaji, suka mencari dan menyoal,” katanya.
Sehingga kini, 89 saintis muda Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau sejak ASM menjadi badan pencalon rasmi pada 2004, manakala 27 pelajar negara telah diberi peluang menyertai CSSP melalui kerjasama MOSTI dan ASM sebagai badan pencalon rasmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial