AM > BERITA

Rangka Kerja Tahap Ketersediaan Inovasi Mekanisme Baharu Tingkat Daya Saing Inovasi

13/11/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperkenalkan rangka kerja Tahap Ketersediaan Inovasi (IRL), mekanisme baharu penilaian geran yang dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi memperkukuh ekosistem inovasi Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata rangka kerja itu menyediakan rubrik penilaian komprehensif untuk menilai ketersediaan inovasi merentasi 11 dimensi termasuk kematangan teknologi, pemahaman pelanggan dan daya saing pasaran. 

Beliau berkata IRL melangkaui Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) tradisional dengan menyediakan ukuran potensi dan impak inovasi yang lebih holistik. 

“Penggunaannya termasuk oleh Malaysia Science Endowment (MSE) menandakan langkah penting ke arah memastikan pelaburan penyelidikan menjana hasil ketara untuk ekonomi dan rakyat. 

“Penciptaan produk, teknologi dan perkhidmatan bernilai tinggi bukan sahaja akan memacu kemajuan sosioekonomi Malaysia tetapi juga mengukuhkan daya saing syarikat tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Chang berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2024/2025 di Menara MATRADE di sini hari ini. 

Majlis itu meraikan 32 saintis Malaysia yang cemerlang dengan 25 orang diiktiraf pada 2024 dan tujuh tahun ini atas sumbangan luar biasa mereka dalam memajukan sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi (STIE).

Beliau berkata rangka kerja IRL itu melengkapkan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) 2025-2030 yang dilancarkan MOSTI baru-baru ini dan dibangunkan oleh ASM.

Pelan hala tuju itu mengandungi tiga teras, enam strategi dan 27 pelan tindakan untuk menangani cabaran struktur dalam ekosistem STIE negara. 

Strategi utama, menurut beliau ialah memperkukuh kerjasama strategik RDICE dengan menghubungkan kecemerlangan penyelidikan dan permintaan pasaran untuk mewujudkan landskap inovasi yang lebih kompetitif dan responsif.

Chang juga mengulangi kerajaan kekal komited untuk membina ekosistem RDICE yang kukuh dan inklusif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 dengan sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030. 

Untuk menyokong aspirasi itu, MOSTI menyasarkan 130 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2025, dengan nisbah itu kini menunjukkan peningkatan kepada 55 penyelidik bagi setiap 10,000 berbanding 33 pada 2020.

Selain itu, Chang memaklumkan antara 2023 dan 2025, sebanyak 62 penerima TRSM tersenarai dalam kalangan dua peratus Saintis Terbaik Dunia oleh Universiti Stanford yang mencerminkan peningkatan kecemerlangan saintifik Malaysia serta kedudukan globalnya.

Sementara itu, Naib Presiden ASM Prof Datuk Dr Looi Lai Meng berkata pendekatan berorientasikan misi kepada STIE memerlukan penyelidikan yang strategik, kolaboratif dan dipacu hasil, dengan kejayaan diukur melalui impak dunia sebenar, bukan menerusi bilangan kertas kerja atau paten yang diterbitkan.

“Pendekatan ini meletakkan kerajaan sebagai pembentuk pasaran, bukan sekadar pembiaya. Ia menyelaraskan penyelidikan dan inovasi dengan keutamaan negara seperti keselamatan makanan, tenaga bersih, penjagaan kesihatan dan kelestarian air.

“Ia juga memerlukan pemikiran terbuka yang menggalakkan penerokaan, eksperimen dan inovasi yang bermatlamat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan