CHUKAI, 19 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan membangunkan semula projek perumahan Program Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Air Putih di sini yang terbengkalai hampir dua tahun, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta.
Pengerusi KETENGAH Datuk Rozi Mamat berkata projek di bawah kelulusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu merangkumi pembinaan 185 unit rumah, surau, tadika serta padang permainan di kawasan seluas 16.8 hektar dan dijangka disambung semula dalam masa terdekat.
"Kontraktor terlibat diberi tempoh selama enam bulan untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan projek perumahan berkenaan yang tinggal sebanyak enam peratus," katanya selepas meninjau tapak projek PPK Kampung Air Putih di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar KETENGAH Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Rozi berkata projek berkenaan pada peringkat awal diperuntukkan sebanyak RM20.4 juta, dengan kerja pembinaan dimulakan pada 2019.
Beliau berkata projek berkenaan terhenti ketika pandemik COVID-19 pada 2020 sebelum disambung semula pada 2022.
"Bagaimanapun pembangunan projek itu dihentikan semula Jun 2024 akibat masalah teknikal," katanya dan memaklumkan antara tujuan pembinaan projek itu untuk menyediakan perumahan percuma kepada penduduk terlibat banjir serta golongan miskin.
Rozi berkata beliau berharap penantian penduduk berkelayakan untuk mendiami rumah itu berakhir tidak lama lagi menerusi pembangunan semula projek berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial