ISKANDAR PUTERI, 20 Nov (Bernama) -- Lebuh Raya Pasir Gudang, yang sebelum ini pernah dikategorikan sebagai jalan kedua terburuk di Malaysia, kini terkeluar daripada senarai berkenaan hasil usaha penambahbaikan berterusan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pemantauan dijalankan secara berterusan bagi memastikan lebuh raya tersebut sentiasa dipelihara, termasuk pemantauan kenderaan berat yang melebihi muatan.
“Dahulu, Pasir Gudang merupakan jalan kedua terburuk di negara ini. Kini, ia telah keluar daripada 10 jalan terburuk di Malaysia. Namun, pemantauan terhadap kenderaan berat tetap dijalankan kerana lebuh raya ini banyak digunakan oleh industri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas) mengenai tempoh projek Lebuhraya Pasir Gudang akan disiapkan.
Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) sebelum ini berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha, termasuk menggesa kontraktor projek pelebaran Lebuh Raya Pasir Gudang mempercepat kerja pembaikan kerosakan jalan di kawasan terbabit.
Beliau turut menegaskan seluruh kawasan projek perlu dilengkapi pencahayaan mencukupi dan tidak hanya bergantung pada lampu ‘blinker’ di beberapa lokasi demi keselamatan pengguna.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baru-baru ini menitahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memastikan kerja penyelenggaraan jalan, lampu jalan, serta kemudahan awam di lebuh raya itu diurus dengan baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial