ARAU, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 3,568 graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen ke-20 universiti itu, dari 22 Nov hingga 25 Nov ini melibatkan lapan sidang di Dewan Tuanku Canselor, yang digunakan buat pertama kali selepas ia siap dibina.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata graduan itu melibatkan 1,042 penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Ijazah Sarjana Muda Teknologi (620 penerima), Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (708 penerima), Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (220 penerima).
Selain itu, Sarjana (97 penerima), Doktor Falsafah (PhD) (79 penerima), Diploma Kejuruteraan (489 penerima), Program Master Profesional (21 penerima), Bacelor Profesional (222 penerima) dan Diploma Profesional (70 penerima).
“Daripada jumlah ini, sebanyak 13 graduan akan menerima anugerah termasuk Anugerah Pelajaran Diraja, pingat dan hadiah masing-masing pada istiadat konvokesyen ini,” katanya pada sidang media di UniMAP di sini hari ini.
Zaliman berkata pemasyhuran Pro-Canselor Kedua Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dijadualkan berlangsung semasa sidang pertama pada konvokesyen kali ini.
Sementara itu, beliau berkata 3,206 graduan UniMAP daripada 3,568 graduan itu berjaya mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025 dan daripada jumlah itu sebanyak 70 peratus graduan telah memperoleh pekerjaan atau menyambung pengajian sebelum konvokesyen kali ini.
“Ini membuktikan program dan kurikulum yang ditawarkan UniMAP relevan dengan keperluan semasa industri. Graduan kita adalah graduan sedia industri, tersedia bekerja sebaik tamat pengajian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial