AM > BERITA

Lebih 27,000 Pekerja Terima Manfaat Di Bawah Dasar Gaji Progresif - Sim

22/11/2025 07:37 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Nov (Bernama) -- Lebih 27,000 pekerja menerima manfaat di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP), sekali gus mencerminkan keyakinan industri terhadap model emolumen berasaskan kemahiran dan produktiviti dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata berdasarkan perangkaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 2,489 majikan kini menyertai inisiatif yang menunjukkan keberkesanan kukuh dasar itu di tempat kerja.

“Lebih 45 peratus pekerja dalam kategori profesional hingga operator mesin menikmati kenaikan gaji RM300 atau lebih dengan 22 peratus daripada penerima manfaat adalah golongan belia, sekali gus menjadi indikator penting bahawa DGP berupaya menarik, mengekalkan dan mengembangkan tenaga kerja muda yang kritikal kepada peningkatan produktiviti negara.

“Peningkatan penyertaan ini turut dipacu oleh manfaat langsung kepada majikan, iaitu insentif kewangan bulanan yang dibayar terus oleh Perkeso sehingga 2027, di samping akses kepada tenaga kerja yang lebih mahir, produktif dan stabil,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri sesi libat urus DGP dan Majlis Penghargaan kepada majikan DGP di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan DGP secara sukarela dan berperingkat turut memberi ruang kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan pelaksanaannya mengikut kemampuan operasi masing-masing.

Sim berkata melihat kepada pencapaian setakat ini, kerajaan menyeru lebih banyak majikan untuk menyertai DGP sebagai pelaburan strategik terhadap daya saing syarikat masing-masing.

Beliau menyifatkan DGP sebagai reformasi struktur gaji yang memastikan peningkatan kemahiran sebenar diterjemahkan kepada ganjaran gaji yang setimpal, sekali gus menyokong objektif nasional membina pasaran buruh yang lebih adil, progresif dan mampan.

Dalam perkembangan lain, Sim berkata kerajaan berpendirian tegas untuk tidak berkompromi dalam isu eksploitasi pekerja termasuk melibatkan pekerja asing dengan Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa berhubung komitmennya memerangi amalan eksploitasi tenaga kerja dan memastikan hak pekerja sentiasa dilindungi.

Beliau berkata kerajaan memandang serius semua aspek berkaitan kebajikan pekerja termasuk aduan, penguatkuasaan undang-undang perburuhan, pembayaran gaji dan penyediaan tempat tinggal selain menegaskan akan meneliti setiap laporan berkaitan eksploitasi pekerja serta mengambil tindakan wajar.

“Kami sangat tegas dalam aspek undang-undang perburuhan, Malaysia memastikan eksploitasi pekerja tidak berlaku, tidak kira pekerja tempatan atau pekerja asing dan kami tidak boleh berkompromi,” katanya.

Sim berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa yang mendedahkan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan baharu tentang eksploitasi, penipuan dan ikatan hutang yang berterusan terhadap pekerja migran Bangladesh di Malaysia.

Laporan itu menyebut pihak PBB bimbang pengambilan pekerja palsu dan eksploitasi migran masih berleluasa di Malaysia serta amalan itu terus menyebabkan kemudaratan hak asasi manusia yang ketara kepada pekerja yang terjejas dan keluarga mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan