AM > BERITA

Manfaatkan Kuasa Belia - PM Anwar

20/11/2025 08:51 PM

Oleh Saraswathi Muniappan

ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Gelombang protes oleh Generasi Z (Gen Z) di seluruh dunia baru-baru ini merupakan seruan untuk kerajaan memanfaatkan kuasa belia dan mengiktiraf penglibatan penting mereka dalam proses politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di mana-mana termasuk di Malaysia, belia merupakan pakar alatan digital dan penggunaan teknologi iaitu mereka boleh memacu agenda untuk penyertaan demokrasi yang lebih besar dan mendesak ketelusan serta akauntabiliti daripada pihak yang berkuasa.

“Gelombang protes Gen Z baru-baru ini di beberapa negara menunjukkan dengan jelas bahawa kehendak belia tidak lagi kecil dan keutamaan mereka terhadap tadbir urus yang baik telah meningkat.

“Kebimbangan mereka juga merangkumi perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan pencabulan hak asasi manusia,” katanya pada Forum Belia Afro-Malaysia di sini.

Menurut Anwar, desakan golongan muda terhadap inisiatif dasar untuk memacu perubahan dalam bidang-bidang berkenaan adalah sesuatu yang mencetuskan inspirasi. 

Sehubungan itu, beliau berkata peranan belia dalam dialog global membantu menggalakkan persefahaman merentasi budaya dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.

“Belia ialah penggerak perubahan dan masyarakat perlu memanfaatkan tenaga, kreativiti dan semangat mereka.

“Fenomena global ini patut menjadi seruan (wake-up call) kepada kerajaan di seluruh dunia untuk menambah baik cara sesuatu urusan dijalankan dan memenuhi keperluan belia dengan cara yang lebih bermakna,” katanya.

Anwar berkata dengan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai defisit kepercayaan pada institusi, maklumat palsu digital dan penyertaan politik tidak seimbang, belia tampil sebagai pejuang ketelusan, tanggungjawab awam dan penggubalan dasar yang inklusif.

“Menerusi saluran serantau seperti mekanisme Dialog Belia ASEAN dan Wakil Belia Kesatuan Afrika, kumpulan itu telah pun mengadakan perbincangan mengenai penyertaan pilihan raya, antirasuah dan keterangkuman sosial.

“Meningkatkan kerjasama ASEAN-AU, seperti menerusi perkongsian antara parlimen belia, bukan sahaja akan melengkapkan pemimpin muda dengan pandangan berbeza tetapi juga menyuntik legitimasi dan tenaga baharu ke dalam proses tadbir urus serantau,” katanya.

Bertajuk: "Perkongsian Belia untuk Kemakmuran Bersama," forum anjuran bersama Majlis Belia Ethiopia, Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Malaysia itu melibatkan 250 peserta.

Turut hadir Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia Ergoge Tesfaye, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.

Ethiopia merupakan persinggahan pertama Anwar dalam lawatannya ke benua Afrika.

Lawatan tiga hari Anwar bermula 18 Nov lepas ke negara yang mendapat jolokan “Horn of Africa” itu, berakhir hari ini.

Dari Addis Ababa, perdana menteri akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan, mulai hari ini hingga 23 Nov untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum ke Nairobi, Kenya, pada 23-24 Nov. 

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan