CHUKAI 20 Nov (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM34,000 kepada 100 penerima menerusi Program Agihan Zakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad Dr Muhtar Suhaili berkata agihan zakat itu merupakan sebahagian daripada hasil pulangan wakalah majikan atau potongan zakat berjadual berjumlah RM68,529 yang diserahkan semula oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada syarikat itu.
"EPIC Berhad hari ini melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Agihan Zakat dengan tujuan menyantuni komuniti setempat serta memperkukuh kesejahteraan sosial," katanya pada sidang media selepas Program Agihan Zakat Bersama MAIDAM di Dewan Serbaguna EPIC Kemaman di sini hari ini.
Sesi agihan zakat itu disempurnakan oleh Muhtar dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC Berhad Wan Mohd Azilah Wan Abdullah yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Datuk Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan.
Mengulas lanjut, Muhtar berkata penerima agihan zakat itu merangkumi 80 individu daripada golongan fakir miskin dan 20 pelajar yang sedang melanjutkan pengajian.
"Pecahan itu mencerminkan fokus program untuk membantu keperluan asas komuniti rentan, di samping menyokong kesinambungan pendidikan sebagai tonggak pembangunan sosial jangka panjang," katanya.
Tambah beliau, program EPIC Berhad bersama MAIDAM itu merupakan usaha berterusan dalam memupuk budaya keprihatinan serta menyokong golongan memerlukan menerusi pendekatan yang tersusun dan berimpak.
"Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, kami komited menyalurkan sumbangan yang mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat.
"Komitmen kami bukan sahaja untuk menjana keuntungan tetapi turut memastikan manfaat syarikat dapat dikongsi bersama masyarakat khususnya golongan rentan di negeri Terengganu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial