AM > BERITA

DOF Perkukuh Pemantauan, Penguatkuasaan Spesies Terancam Termasuk Yu Dan Pari

21/11/2025 12:24 PM

PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) terus memperkukuh tindakan bersepadu termasuk operasi pemantauan dan pemantapan mekanisme penguatkuasaan di peringkat lapangan bagi memastikan usaha pemulihan dan kawal selia kumpulan spesies marin terancam termasuk yu dan pari.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata beberapa spesies yu dan pari dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 yang menetapkan kawal selia berkaitan pengambilan, pendaratan, pemilikan, penjualan dan perdagangan.

Antara spesies dilindungi ialah Great Hammerhead (Sphyrna mokarran), Scalloped Hammerhead (Sphyrna lewini), Smooth Hammerhead (Sphyrna zygaena), Oceanic Whitetip Shark (Carcharhinus longimanus) serta pari manta seperti Giant Manta Ray (Mobula birostris) dan Reef Manta Ray (Mobula alfredi).

“Yu dan pari merupakan pemangsa puncak yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem marin. DOF komited memastikan perdagangan dan pendaratan spesies terancam dikawal secara ketat, berintegriti serta selaras dengan piawaian antarabangsa dan perundangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, beliau berkata DOF memandang serius kajian Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan TRAFFIC Asia Tenggara yang mendedahkan lebih RM326 juta perdagangan dalam talian membabitkan produk ikan yu dan pari dikesan berlaku aktif di platform e-dagang utama negara.

Baru-baru ini, Pengurus Program TRAFFIC Asia Tenggara Serene Chng dilaporkan memaklumkan kajian bertajuk From Sea to Screen: Malaysia's Online Shark and Ray Trade mendapati aktiviti jual beli itu melibatkan sekurang-kurangnya 5.25 juta kilogram produk antara Oktober hingga Disember 2022.

Adnan berkata dapatan itu memberi gambaran penting mengenai corak perdagangan semasa seterusnya membantu memperkukuh usaha pemuliharaan dan kawal selia terhadap kumpulan spesies marin yang semakin berisiko tinggi.

“DOF menghargai kerjasama berterusan dengan WWF dan TRAFFIC dalam meningkatkan ketelusan maklumat, kesedaran awam serta kefahaman mengenai keperluan melindungi spesies yang terdedah kepada ancaman eksploitasi,” katanya. 

Adnan berkata Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam Pupus (CITES) melaksanakan tanggungjawab mengawal perdagangan antarabangsa bagi spesies terancam termasuk yu serta pari.

“DOF memastikan pematuhan permit CITES, pemeriksaan identiti spesies dan kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara bersandarkan data saintifik serta standard antarabangsa. Tanggungjawab ini diperkukuh melalui semakan berkala dan peningkatan kapasiti penguatkuasaan,” katanya.

Adnan berkata langkah itu mencerminkan komitmen jabatan untuk memastikan sumber perikanan negara kekal lestari, terurus dan terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan