ALOR GAJAH, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyasarkan lebih 19 juta pelancong pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0), kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata sebanyak 225 acara pelancongan, termasuk sembilan program utama, dirancang bagi menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, dengan jangkaan pendapatan mencecah RM20 bilion.
“Sesi libat urus bersama penggiat hotel, ejen pelancongan, persatuan serta sektor penerbangan telah diadakan bagi memperincikan strategi promosi, insentif kerajaan dan padanan perniagaan yang boleh dilaksanakan sepanjang TMM2.0.
“Pelbagai inisiatif baharu juga akan diperkenalkan sempena TMM2.0 dan akan diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2026 Negeri Melaka pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 5 Dis ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakan Muda Rakan Demokrasi: Undi Orang Muda / Simulasi Pilihan Raya Peringkat Daerah Alor Gajah Siri 2 Tahun 2025 yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata program utama sempena TMM2.0 merangkumi Festival Tahun Baharu Cina (10 Feb hingga 10 Mac 2026); Majlis Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (20 Feb 2026); Raptor Watch 2026 Challenge (6 hingga 8 Mac 2026); dan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka (28 Mac 2026).
Program lain yang turut dirancang ialah Karnival Udara Antarabangsa Melaka (26 hingga 28 Jun 2026); Melaka Rainforest Festival (26 hingga 28 Jun 2026); Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka (3 hingga 7 Julai 2026); Melaka Heritage Festival In Conjunction With The 18th Anniversary of UNESCO World Heritage City Celebration (5 hingga 7 Julai 2026); dan Pesta Pantai Tanjung Bidara (11 hingga 13 Sept 2026).
Beliau berkata keseluruhan acara ini disusun seiring pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bagi memperkukuh lagi kemeriahan kedua-dua program pelancongan di peringkat negeri dan nasional.
Katanya pelancaran rasmi TMM2.0 akan diadakan pada 31 Dis ini di Encore Melaka sempena sambutan ambang tahun baharu 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial