DUNIA > BERITA

FORUM MEDIA D-8 BERAKHIR DENGAN PENERIMAAN DEKLARASI BAKU 2025

21/11/2025 11:59 PM

Daripada Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Shaher

BAKU (Azerbaijan), 21 Nov (Bernama) -- Forum Media D-8 yang pertama berakhir pada Jumaat dengan penerimaan Deklarasi Baku 2025 mengenai Kerjasama dan Pembangunan Media Kolaboratif dalam kalangan negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun bagi Kerjasama Ekonomi (D-8).

Deklarasi itu mengukuhkan kerjasama media dalam organisasi berkenaan, termasuk menyokong penubuhan awal Pusat Kecemerlangan Media D-8.

Menurut deklarasi itu, pusat berkenaan akan ditubuhkan di Azerbaijan.

“Pusat itu akan berfungsi sebagai hab utama untuk latihan, penyelidikan, inovasi, pembinaan kapasiti digital serta inisiatif komunikasi bersepadu, dengan penglibatan aktif semua negara anggota,” menurut deklarasi itu.

Ia turut mengesahkan komitmen untuk mempertingkat kerjasama media dalam kalangan negara anggota D-8 bagi memupuk persefahaman bersama, solidariti serantau dan matlamat pembangunan bersama.

Forum sehari itu juga mengiktiraf cadangan untuk mewujudkan Forum Media D-8 sebagai platform tahunan yang akan dianjurkan secara bergilir-gilir bagi memastikan penyertaan inklusif dan pemilikan bersama dalam kalangan negara anggota.

Negara anggota telah bersetuju untuk membangunkan program pembinaan kapasiti yang berstruktur, bengkel serta pertukaran profesional melalui pusat itu bagi memperkukuh keupayaan institusi dan sumber manusia dalam rangkaian D-8.

Deklarasi itu turut menekankan keperluan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkuasa media nasional, agensi berita dan penyiar awam bagi memperbaiki pertukaran maklumat, mengharmonikan  strategi komunikasi dan menyokong pembangunan kandungan bersama.

Selain itu, forum berkenaan turut mengambil maklum inisiatif untuk menubuhkan Persatuan Penyiaran Negara-Negara D-8 yang bertujuan memudah cara pertukaran program, penerbitan bersama serta perkongsian kandungan budaya dan pendidikan.

“Kami yakin bahawa pelaksanaan berkesan deklarasi ini akan menyumbang kepada ruang media D-8 yang lebih saling berhubung, bermaklumat  dan berdaya tahan, seterusnya menyokong keamanan, pembangunan dan persefahaman bersama dalam kalangan negara kita,” menurut deklarasi itu.

Forum itu menghimpunkan sekitar 150 peserta, termasuk 71 tetamu asing dari lapan negara anggota untuk membincangkan pendekatan kolaboratif dalam menangani isu seperti maklumat salah, pemecahan digital serta pengukuhan naratif serantau.

Ditubuhkan pada 1997, D-8 kini dianggotai Azerbaijan, Türkiye, Mesir, Nigeria, Pakistan, Iran, Indonesia, Bangladesh dan Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan