AM > BERITA

Lebih RM115 Juta Diluluskan Untuk Kesejahteraan Komuniti Bandar Tahun Ini

22/11/2025 08:07 PM

ALOR SETAR, 22 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM115.104 juta telah diluluskan bagi menjayakan program-program komuniti melibatkan pelbagai inisiatif kesejahteraan komuniti di bandar, sepanjang tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata menerusi peruntukan itu, sebanyak 3,472 program anjuran Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BSK) di bawah kementerian itu, telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, agensi KPKT dan rakan-rakan strategik.

Beliau berkata antara program yang dilaksanakan termasuklah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM61.8 juta dan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) dengan peruntukan RM2.02 juta.

“Program Local Agenda 21 (LA21) pula dilaksanakan dengan peruntukan RM980,000, manakala menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) sebanyak RM304,000 diperuntukan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan KPKT hari ini.

Nga berkata di bawah inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) pula, sejumlah RM50 juta telah disalurkan dengan 413 RIBI mendapat manfaat.

Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program kesejahteraan komuniti di bandar membuktikan bahawa tiada komuniti yang dipinggirkan.

Nga berkata sinergi antara KPKT, PBT dan kerajaan negeri membuktikan transformasi boleh dilakukan demi kebaikan rakyat.

“Sentuhan kejayaan KPKT ini juga menggambarkan iltizam kami untuk terus memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada komuniti di seluruh negara, melalui kolaborasi kukuh antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“KPKT kekal teguh dalam usaha memastikan kesejahteraan komuniti bandar terus diperkasakan dan manfaatnya dirasai rakyat secara langsung di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan