ALOR SETAR, 22 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bekerjasama rapat dengan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang untuk mengkaji sifat serta populasi ubur-ubur di perairan Langkawi.
LADA dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu bagi memperkukuh pemahaman dan aspek kesiapsiagaan susulan kematian kanak-kanak warga Rusia berusia dua tahun pada 19 Nov akibat disegat ubur-ubur di Pantai Cenang, Langkawi.
Sebagai antara agensi utama menyokong ekosistem pelancongan Langkawi, LADA memaklumkan akan terus komited untuk mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung bersama-sama pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan pejabat daerah.
“Kerjasama ini membolehkan kami memperkenalkan langkah keselamatan berdasarkan bukti dan meningkatkan keupayaan tindak balas untuk kebaikan pelancong dan komuniti tempatan. Beberapa tindakan sedang diperkukuh termasuk meningkatkan nasihat keselamatan dan pemasangan papan pemberitahuan.
“Ia juga merangkumi meningkatkan koordinasi antara pasukan peronda pantai, penyelamat, pengendali sukan air, pengusaha pelancongan dan resort serta hotel; memperkukuh kempen kesedaran terhadap aktiviti ubur-ubur; penilaian risiko berdasarkan musim; amalan renang selamat serta mempergiat rondaan terutama pada musim puncak kehadiran haiwan itu,” menurut kenyataan tersebut.
LADA menyifatkan tragedi itu sebagai peringatan kepada sifat persekitaran marin yang tidak dapat dijangka.
Selain itu, LADA mengingatkan pengunjung pantai terutama yang mempunyai anak kecil untuk mengambil perhatian terhadap langkah keselamatan dan pertolongan cemas jika disengat ubur-ubut termasuk segera naik ke daratan kerana membantu mengelakkan lebih banyak sentuhan dengan haiwan itu, sekali gus mengurangkan risiko lemas akibat kejutan.
“Jangan menggosok kawasan terkena sengatan kerana boleh menyebabkan lebih banyak racun keluar. Bilas kawasan itu dengan cuka secepat mungkin dan elakkan menggunakan air, alkohol atau meletakkan ais secara terus di kawasan sengatan yang boleh memburukkan keadaan.
“Keluarkan sebarang sesungut yang dilihat dengan berhati-hati menggunakan penyepit atau barangan seumpamanya dan hubungi talian 999. Jika mangsa mengalami kesukaran bernafas, segera lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu bantuan profesional,” menurut kenyataan itu.
LADA memaklumkan langkah itu boleh membantu mengurangkan tahap kesakitan dan meningkatkan peluang untuk pulih.
Menerusi kenyataan sama, LADA mengucapkan takziah kepada ibu bapa kanak-kanak itu dan menzahirkan penghargaan kepada mereka yang berkongsi pengalaman dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran mengenai bahaya ubur-ubur.
“Kami turut merasai kesedihan keluarga. Insiden yang memilukan ini memberi kesan besar kepada seluruh masyarakat dan menunjukkan keseriusan situasi tersebut,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial