KANGAR, 22 Nov (Bernama) -- Seramai 10 anggota rombongan Cuti Cuti Langkawi Sdn Bhd yang berada di Wilayah Songkhla untuk lawatan jaringan usahasama pakej pelancongan Langkawi-Selatan Thailand sejak semalam, terkandas di Hat Yai susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Pengurus besar syarikat itu Dr Baharin Baharom yang mengetuai rombongan berkenaan berkata mereka memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar semalam, sebelum air mulai naik di sekitar bandar Hat Yai pada petang hari yang sama.
“Sejak petang semalam, kami kekal berada di hotel penginapan, kerana banjir mula memenuhi kawasan sekitar. Kira-kira 10 pagi tadi, bekalan elektrik di hotel diputuskan, sebelum pihak hotel memaklumkan bahawa generator akan digunakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Baharin berkata pihak hotel, dengan kerjasama ejen pelancongan Thailand, turut mengagihkan makanan halal secara percuma bagi makan tengah hari dan makan malam kepada semua pelancong yang terkandas di premis hotel itu.
“Buat masa ini, kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa Thailand. Apa yang menarik, sistem pesanan ringkas digunakan untuk menyalurkan maklumat terkini terus kepada telefon masing-masing,” katanya.
Hari ini, Bernama melaporkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand, susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dipetik sebagai berkata kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.
Ahmad Fahmi turut memaklumkan untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas menerusi talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial