AM > BERITA

G20 Perlu Melangkaui Retorik Tangani Ketidaksamaan Perdagangan Global - PM Anwar

23/11/2025 09:50 AM

Daripada M. Saraswathi

JOHANNESBURG, 23 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota G20 untuk melangkaui retorik dan mengambil tindakan konkrit bagi menangani ketidaksamaan perdagangan global yang sekian lama berlarutan, terutamanya yang menjejaskan negara di Selatan Global.

Beliau berkata walaupun perbincangan terkini G20 menunjukkan desakan hebat untuk mencapai konsensus yang lebih luas terhadap perdagangan pelbagai hala, mekanisme pelaburan, dan merapatkan jurang ekonomi antara negara, kemajuan sebenar masih terhad.

"Kita telah melihat perancangan yang sangat hebat untuk mencapai konsensus sebegini, namun dari segi tumpuan kepada perdagangan pelbagai hala, meningkatkan mekanisme, pelaburan dan untuk memastikan tiada jurang ketara antara negara, perkara ini masih kurang," kata beliau dalam temu bual audio siar dengan Dr Sizwe Mpofu-Walsh di sini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata negara di Eropah dan Utara Global perlu menggunakan mekanisme dalam G20 untuk menangani dan menyelesaikan ketidaksamaan ketara yang menjejaskan Selatan Global.

"Selama ini, amalan perdagangan tidak adil dan eksploitasi terhadap sumber negara-negara miskin tidak ditangani.

"Jadi, tidak perlu lagi kita mendengar ejekan, syarahan dan kata-kata yang tidak bermakna. Kita mahu melihat tindakan konkrit diambil terhadap situasi ini.

"Kita bukan lagi dalam era kolonial atau pascakolonial. Negara-negara ini kini jauh lebih maju, lebih bijak dan menyatakan visi mereka," kata Perdana Menteri.

Walaupun mengakui masih banyak yang perlu dilakukan, beliau berkata penting untuk menyuarakan kebimbangan ini dengan tegas di pentas global.

"Penting untuk mereka mencapai konsensus dalam bidang ini. Perjalanannya masih jauh, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian daripada kita harus menyatakannya dengan amat tegas," kata beliau.

Berkenaan Malaysia menjadi anggota BRICS, Anwar berkata, "Dengan pemain utama seperti Afrika Selatan, China, India dan Rusia yang semuanya menyokong keanggotaan kita, maka kita teruskan proses itu".

Bagaimanapun, Anwar berkata perkara yang penting ialah BRICS turut memberikan tumpuan terhadap bidang baharu dan teknologi, serta meningkatkan perdagangan antara serantau dan dalam kalangan negara anggota BRICS, sambil meneruskan hubungan dengan Amerika Syarikat dan Eropah.

Dalam temu bual selama 30 minit itu, Perdana Menteri turut berucap panjang tentang BRICS, ASEAN, hubungan Malaysia-Afrika Selatan, tumpuan ekonomi Malaysia dan dasar sosial negara.

Negara anggota G20 ialah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Republik Korea, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

G20 tahun ini adalah yang pertama dianjurkan di benua Afrika.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan