AM > BERITA

Malaysia Pertimbang Permintaan Mesir Untuk Menganjur Bersama Persidangan Pembangunan Semula Gaza - PM Anwar

23/11/2025 09:58 AM

Daripada M. Saraswathi

JOHANNESBURG, 23 Nov (Bernama) -- Mesir telah mengemukakan permintaan agar Malaysia bukan sahaja menyertai Persidangan Pembangunan Semula Gaza tetapi turut menjadi penganjur bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerjanya di sini, Perdana Menteri berkata rakan sejawatannya dari Mesir Mostafa Madbouly, telah menyampaikan salam daripada Presiden Abdel Fattah el-Sisi bersama-sama cadangan tersebut.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin G20, di sini.

“Mesir menyatakan hasrat agar Malaysia menghadiri persidangan pembangunan semula Gaza dan turut menjadi penganjur bersama. Saya memaklumkan beliau bahawa saya akan terlebih dahulu mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar, sebelum membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Persidangan itu bertujuan untuk mendapatkan persetujuan semua negara Arab, Islam, Amerika Syarikat dan lain-lain supaya pelaksanan fasa satu pembangunan itu dilihat  secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata Malaysia, bersetuju fasa pertama pembangunan yang digagaskan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Tetapi kita tekankan bahawa penyelesaiannya harus lebih menyeluruh dan komprehensif, itu yang selari dengan dasar kita,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata beliau juga bertemu Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang bercakap mengenai operasi Petronas di negara itu.

“Lula berbangga dengan pencapaian Petronas di sana dan mahukan syarikat itu mengembangkan operasinya,” kata beliau.

Ini merupakan kali kedua Anwar menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai negara jemputan, kali pertama ialah di Brazil tahun lepas. Tahun ini, jemputan diterima daripada Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Perdana Menteri akan berlepas ke Nairobi, Kenya bagi melengkapkan siri lawatan tiga negara beliau di Afrika.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan