AM > BERITA

PR1MA Berjaya Siapkan 32 Projek Sakit

23/11/2025 07:14 PM

ALOR SETAR, 23 Nov (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berjaya menyiapkan 32 daripada 34 projek sakit yang dikenal pasti sebelum ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata 32 projek terlibat telah pun diserahkan kepada pembeli dengan baki projek kini dalam fasa akhir dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membantu mempercepatkan proses berkaitan.

"Setelah siap, tiada lagi projek sakit di bawah PR1MA. Mandat Kerajaan MADANI jelas bahawa tiada projek PR1MA yang akan dibiarkan terbengkalai. 

"Kejayaan menyiapkan projek berkenaan adalah pencapaian penting yang membuktikan kemampuan Kerajaan MADANI menerusi KPKT dan PR1MA dalam memulihkan projek sakit tanpa menjejaskan kualiti," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Simpang Empat 2 (Fasa 1) Sempena Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dekat sini hari ini.

Nga berkata sepanjang tahun ini, PR1MA yang merupakan agensi peneraju kediaman mampu milik di bawah KPKT berjaya menyiapkan lima projek pembangunan merangkumi 2,343 unit kediaman, termasuk tiga projek sakit dengan 1,391 unit.

"Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan PR1MA, tetapi juga menggambarkan kesungguhan seluruh pasukan dalam memastikan rumah rakyat disiapkan dalam keadaan selamat dan berkualiti tinggi," katanya.

Beliau berkata sejak penubuhannya, PR1MA berjaya membangunkan 91 projek perumahan melibatkan 54,142 unit kediaman di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 67 projek dengan 44,244 unit telah siap dibina sepenuhnya.

Nga berkata 1,163 buah rumah PR1MA pula berjaya dijual pada tahun ini dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM330 juta. 

"Pada masa ini, 13 projek aktif melibatkan 6,513 unit sedang dalam pembinaan di seluruh negara. Projek ini dilaksanakan dengan perancangan yang teliti bagi memastikan setiap rumah disiapkan mengikut jadual dan standard ditetapkan.

"Di samping itu, 11 projek baharu melibatkan 3,385 unit sedang dirancang untuk memenuhi keperluan perumahan masa depan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan