PADANG BESAR, 24 Nov (Bernama) -- Penduduk Felda Mata Ayer tidak menyangka perlu menghadapi situasi banjir teruk yang mencecah paras pinggang sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Rata-rata penduduk Felda itu yang ditemui Bernama di PPS Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer dekat sini hari ini memaklumkan mereka tidak membuat sebarang persediaan bagi menghadapi banjir.
Rokiah Man, 64, berkata beliau belum pernah mengalami situasi banjir seumpama itu sejak 41 tahun tinggal di Felda berkenaan.
"Saya memang tidak sangka banjir ini akan berlaku, sebelum ini air naik pun sikit dan cepat surut, tidaklah seteruk sekarang sehingga kena pindah ke PPS. Ini pengalaman pertama kali saya duduk di PPS, sebelum ini tengok mangsa banjir di PPS dalam televisyen saja, sekarang saya sendiri alami," katanya.
Rokiah berkata kawasan rumahnya mula dinaiki air sekitar 10 pagi semalam dan pada masa itu air hanya pada paras buku lali sahaja sebelum meningkat mendadak dengan begitu cepat sehingga ke paras pinggang.
"Bagaimanapun keluarga saya sempat mengangkat barangan elektrik yang penting ke tempat tinggi atas meja serta anak saya sempat mengalihkan kereta ke tempat selamat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rahayani Suboh, 38, berkata beliau belum pernah berhadapan situasi banjir seteruk itu sepanjang tempoh 12 tahun tinggal bersama keluarga mentuanya di Felda tersebut dan pertama kali merasai pengalaman berada di PPS.
"Walaupun hujan lebat tak pernah lagi kena banjir sampai macam ini, hujan dari tengah malam Sabtu itu hingga menyebabkan sekitar 11 pagi air mulai meningkat naik hingga ke paras pinggang. Keluarga saya tidak sempat buat persediaan apa hanya sempat pindahkan peti ais ke tempat tinggi saja," katanya.
Meskipun kali pertama berlindung di PPS, kedua-duanya menyatakan mereka selesa dengan kemudahan yang disediakan dan boleh menyesuaikan diri.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, setakat 8 malam tadi, mangsa banjir di negeri itu adalah seramai 2,017 orang daripada 594 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS bagi kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial