AM > BERITA

PRN Sabah: 58 Pusat Undi Awal Dibuka

25/11/2025 08:16 AM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Semua 58 pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dibuka serentak tepat pada 8 pagi ini, membuka ruang kepada 24,426 pengundi awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,697 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan manakala 12,729 lagi merupakan anggota polis serta pasangan.

Bagi pengundian awal yang melibatkan anggota tentera dan pasangan, pusat mengundi yang dibuka termasuk Kem Sri Kudat, Kem Paradise Kota Belud, Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Markas Rejimen 507 Askar Wataniah Kota Kinabalu, Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, Kem Cenderawasih Lahad Datu serta Kem Kubota di Sebatik. 

Bagi anggota polis dan pasangan, pengundian diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, ibu pejabat polis daerah serta beberapa Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negeri. 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat di seluruh negeri sepanjang hari ini.

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan sebanyak 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas.

Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan