PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Pihak yang ingin memberikan sumbangan dan bantuan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 perlu berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri atau daerah yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat keperluan mangsa bencana dan lokasi sebenar sebelum mengatur pergerakan penyampaian sumbangan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim berkata tindakan sedemikian amat penting kepada PKOB bagi merekod jenis barangan dan jumlah bantuan yang diterima daripada penyumbang luar supaya memudahkan koordinasi penyaluran bantuan dari satu saluran.
“Ini bagi mengelakkan berlaku lambakan serta pembaziran sumber yang akhirnya akan merugikan tenaga kerja serta berlaku kerosakan atau pertindihan barang bantuan.
“NADMA dan seluruh jentera kerajaan amat berterima kasih dan menghargai keperihatinan semua pihak dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana. Bagaimanapun, semua bentuk sumbangan yang diterima perlu diselaraskan terlebih dahulu di peringkat sekretariat sebelum diedarkan ke kawasan terjejas banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, di Kelantan, Meor Ismail berkata pihaknya bersedia menambah kekuatan sumber manusia dan aset agensi keselamatan pada bila-bila masa, sekiranya bencana banjir semakin teruk.
"Ketika ini kita mempunyai seramai 103,500 kekuatan sumber manusia termasuk 20,600 daripada pasukan polis, 15,640 (bomba) dan 15,390 (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia).
"Malah, kita mempunyai 39,687 aset termasuk 34,092 jaket keselamatan, 25 buah helikopter dan 1,172 trak," katanya selepas mengadakan lawatan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Tumpat.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima satu aduan berhubung dakwaan bantuan yang diagihkan oleh NGO di sebuah PPS tidak boleh diberikan kepada mangsa banjir kerana tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Dilaporkan setakat pagi Selasa, seramai 20,146 mangsa banjir ditempatkan di 119 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri, dengan Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir.
Musim MTL bermula pada 13 Nov lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial