KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Penggubal dasar ASEAN+3 sedang meneroka kaedah untuk menggerakkan simpanan serantau, satu langkah yang dilihat semakin penting memandangkan rantau ini berdepan dengan keperluan peningkatan pembiayaan yang besar, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Marzunisham Omar.
Beliau berkata rantau ASEAN+3 memiliki sumber kewangan yang besar, dengan dana pencen sahaja menyumbang hampir US$4.4 trilion, sekali gus menunjukkan keupayaan rantau ini untuk menyokong sebahagian besar keperluan pelaburannya sendiri.
“ASEAN secara khususnya berdepan dengan keperluan pembiayaan yang besar.
“Mengikut anggaran Bank Pembangunan Asia, keperluan infrastruktur pembiayaan di ASEAN boleh mencecah hampir US$3.1 trilion menjelang 2030,” katanya pada sesi pertama Forum Kerjasama Ekonomi dan Kestabilan Kewangan ASEAN+3 Ke-4, bertajuk ‘Risiko Makroekonomi dan Integrasi Serantau di Tengah-tengah Fragmentasi Global’.
Forum anjuran Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) telah berlangsung di Hong Kong.
Marzunisham berkata isu utama ialah mewujudkan rangka kerja dan platform kewangan bagi menyalurkan simpanan serantau ke dalam sektor produktif dan keutamaan pembangunan jangka panjang.
“Di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, kami memberi tumpuan kepada pembiayaan Grid Tenaga ASEAN dan telah membawa masuk kira-kira 15 pelabur utama yang memperuntukkan kira-kira US$13 trilion bagi membantu membiayai projek ini,” tambahnya.
Beliau berkata usaha menggerakkan sumber serantau dan tempatan melengkapi usaha berterusan bagi meningkatkan integrasi kewangan, termasuk pembayaran rentas sempadan, pembangunan pasaran modal dan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan.
Katanya, usaha mengukuhkan jaringan keselamatan kewangan serantau, seperti peralihan Multilateralisasi Inisiatif Chiang Mai kepada struktur modal berbayar, akan terus meningkatkan kestabilan dan keyakinan serantau.
“Saya percaya kita perlu menggandakan usaha bagi mengintegrasi kewangan serantau.
“Kepercayaan antara penggubal dasaar dan bank pusat adalah penting untuk memacu inisiatif utama ini.
“Akhirnya, rantau yang lebih kukuh dan bersepadu akan memberi manfaat kepada kita semua,” katanya.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial