SUKAN > BERITA

WA SERN SASAR PENAMPILAN SULUNG CEMERLANG ACARA BEREGU JUMBO SUKAN SEA 2025

25/11/2025 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pemain skuasy sedang meningkat naik negara Low Wa Sern bertekad mempamerkan aksi bertenaga dalam acara beregu jumbo lelaki pada penampilan sulung Sukan SEA 2025 di Thailand, dari 9 hingga 22 Dis ini.

Atlet berusia 18 tahun dari Ipoh itu melalui musim yang cemerlang apabila menjuarai kategori Lelaki Bawah 19 Tahun pada Kejohanan Remaja Asia 2025 di Korea Selatan pada Julai lepas, satu pencapaian yang mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara prospek muda paling cerah negara.

Wa Sern berkata cabaran utama yang perlu dihadapi adalah kesuntukan masa untuk membina keserasian di gelanggang bersama rakan gandingannya Harith Danial Jefri.

“Sudah tentu satu penghormatan dapat mewakili Malaysia dan saya sangat bersyukur kerana terpilih. Rakan gandingan saya dan saya telah berlatih bersungguh-sungguh dan beliau akan pulang dalam dua hari lagi (dari luar negara) dan kami mempunyai kurang dua minggu untuk membuat persiapan menghadapi edisi ke-33 temasya dwitahunan itu.

“Kami akan cuba mendapatkan keserasian terbaik antara kami, dan itu mungkin menjadi cabaran utama dalam persiapan kami,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 Datuk Kenny Goh ke lokasi latihan skuasy di sini hari ini.

Mengulas mengenai peralihan daripada acara perseorangan kepada acara beregu jumbo, Wa Sern mengakui perbezaannya tetapi tetap yakin mampu menyesuaikan diri dengan baik.

“Ia memang sangat berbeza berbanding acara perseorangan kerana saya telah bermain dalam acara ini selama beberapa tahun, dan ini mungkin acara beregu jumbo pertama saya. Selagi anda tahu cara mengawal kekuatan, perbezaannya tidak begitu besar. Gelanggang lebih besar tetapi sekurang-kurangnya saya ada rakan sepasukan untuk membantu di belakang,” katanya.

Acara beregu jumbo mengekalkan format yang hampir sama seperti acara beregu lain namun dimainkan di gelanggang yang lebih luas dan panjang, sekali gus menguji daya tahan pemain.

Ini adalah kali pertama Malaysia menghantar wakil dalam acara beregu jumbo, termasuk beregu jumbo campuran, memandangkan sukan skuasy hanya menawarkan empat pingat emas pada edisi kali ini. Malaysia juga menyertai acara perseorangan lelaki dan wanita.

Skuasy tidak dipertandingkan pada dua edisi Sukan SEA sebelum ini, iaitu 2021 di Hanoi, Vietnam dan 2023 di Kemboja, sekali gus menadakan kemunculan semula di Thailand lebih bermakna bagi Malaysia.

Kali terakhir acara itu dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina, apabila Malaysia berjaya mendominasi dengan meraih empat emas, satu perak dan satu gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan