KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan agar semua keperluan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dipastikan mencukupi berikutan peningkatan jumlah penduduk yang dipindahkan di seluruh negara.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda menitahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya memastikan PPS berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu menampung keperluan mangsa yang dipindahkan.
"Pastikan kemudahan asas, bekalan makanan serta perubatan tersedia dengan mencukupi.
“Rakyat juga diingatkan supaya mematuhi arahan pemindahan dan tidak mengambil risiko berada di kawasan berbahaya,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan dan pihak berkaitan yang sedang bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan terjejas.
Seri Paduka Baginda turut menitipkan doa agar semua mangsa banjir yang terjejas diberikan perlindungan dan ketabahan oleh Allah SWT sepanjang menghadapi musibah bencana alam itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial