AM > BERITA

Kursus Sosmic Syarat Wajib Lesen Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam

25/11/2025 03:35 PM

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan penyertaan Kursus Intelektual Pengurusan Sisa Pepejal (SOSMIC) sebagai syarat wajib bagi semua permohonan lesen baharu serta pembaharuan lesen perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bermula tahun depan. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata SOSMIC diwujudkan untuk memastikan semua pemegang lesen pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berada pada tahap profesionalisme yang setanding dengan keperluan masa depan negara.

“SOSMIC dijangka melatih 20,000 peserta dalam tempoh lima tahun pertama. Setiap peserta akan membawa pulang bukan sahaja ilmu tetapi budaya, disiplin dan kesedaran baharu yang akhirnya akan membentuk gelombang perubahan terhadap reformasi pengurusan sisa pepejal negara.

“Pelaksanaan SOSMIC ini dijangka menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat KPKT untuk menjadi sebuah kementerian berprestasi tinggi dan berorientasikan keberhasilan demi kesejahteraan rakyat,” katanya pada Majlis Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara SOSMIC di sini hari ini.

Teks ucapan Nga dibacakan Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib. 

SOSMIC merupakan kursus intelektual pertama dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia yang dibangunkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT).

Inisiatif itu memberikan tumpuan kepada peningkatan profesionalisme pemegang lesen, pemahaman perundangan dan pengukuhan standard industri selaras Akta 672 serta aspirasi Malaysia MADANI.

Program berkenaan merangkumi lima modul teras iaitu latar belakang sistem pengurusan sisa pepejal negara, rangka perundangan, asas teknikal, tatacara permohonan lesen menerusi sistem i-Lesen serta amalan terbaik industri.

Sementara itu, Nga berkata KPKT telah melaksanakan 24,003 operasi bagi menangani tapak pembuangan sampah haram bagi tempoh 2014 hingga Okt lepas.

Bagi tempoh Jan hingga Okt tahun ini, beliau berkata sebanyak 3,634 operasi berjaya dilaksanakan melibatkan pembersihan lebih 1,500 tan sisa pepejal dengan kos kira-kira RM406,000.

“Dari aspek penguatkuasaan, 22 kes telah berjaya dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta 672 tahun ini, disokong oleh 4,268 operasi risikan iaitu suatu usaha yang memerlukan ketabahan petugas lapangan, masa dan kos yang besar.

“Kita memerlukan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat bagi meningkatkan tahap kebersihan negara,” katanya

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan