KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Maxis Berhad (Maxis) bekerjasama dengan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) menganjurkan kem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar sekolah menengah di bawah program Maxis eKelas Menuju Gemilang 2025.
Maxis dalam kenyataan memaklumkan program 18 bulan itu dilancarkan pada Julai lepas bersama Kementerian Pendidikan (KPM), menyasarkan pelajar berpotensi tinggi bagi membantu mereka cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kem STEM selama dua hari itu disertai 85 pelajar tingkatan empat sekolah menengah sekitar Lembah Klang yang dipilih berdasarkan prestasi akademik, penglibatan kokurikulum dan potensi kepimpinan.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata kerjasama itu membantu memupuk cita-cita pelajar serta mengukuhkan perkembangan kokurikulum mereka selaras dengan janji jenama ‘Esok Bermula Hari Ini’.
“Kami berharap program ini dapat memberikan mereka bimbingan dan keyakinan yang diperlukan untuk mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan akademik mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif PASUM Prof Dr Farazila Yusof berkata inisiatif itu selaras dengan misi PASUM untuk memajukan pendidikan dan melahirkan generasi inovator yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Program itu merangkumi pelbagai bengkel STEM termasuk pengekstrakan asid deoksiribonukleik (DNA), pembuatan losen kulit, cabaran menara spageti, pencarian harta karun kimia dan sesi mengenai kecerdasan buatan.
Peserta turut mengikuti lawatan kampus serta sesi bersama Maxis dan PASUM mengenai pilihan akademik, pembangunan kerjaya dan keyakinan diri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial