AM > BERITA

Lembaga Pelabuhan Sarawak Dijangka Mula Operasi Pada Suku Kedua 2026 

26/11/2025 05:58 PM

KUCHING, 26 Nov (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Sarawak dijangka memulakan operasi pada suku kedua tahun depan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata lembaga tersebut akan menjadi badan kawal selia tunggal untuk semua lembaga pelabuhan di Sarawak.

“Pada masa ini, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan sebuah task force bertanggungjawab menyediakan kerangka pentadbiran dan pengurusan bagi pelaksanaan Sarawak Ports Authority,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Paulus Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) yang ingin tahu jangkaan Lembaga Pelabuhan Sarawak dijangka mula beroperasi sepenuhnya.

Pada 7 Mei tahun lalu, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Sarawak bagi menubuhkan sebuah lembaga pelabuhan berpusat khusus untuk mengurus, menyelia, mengawal dan mentadbir semua pelabuhan di Sarawak.

Sementara itu, Majang berkata proses penyatuan pelabuhan itu akan dilaksanakan melalui tiga fasa iatu fasa interim, pengkorporatan dan penswastaan.

“Di fasa interim, proses ini akan melibatkan pemindahan kawal selia daripada Lembaga-lembaga Pelabuhan sedia ada kepada Lembaga Pelabuhan Sarawak seperti termaktub dalam Sarawak Ports Authority Ordinance, 2024.

“Manakala fasa pengkorporatan akan melibatkan penukaran status lembaga-lembaga pelabuhan daripada badan berkanun kepada syarikat milik penuh kerajaan di bawah akta syarikat yang bertujuan membolehkan pengurusan dan operasi pelabuhan dikendalikan berasaskan pasaran dengan memberi tumpuan kepada kecekapan, kewangan yang kukuh dan akauntabiliti serta bersedia untuk proses penswastaan di masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan