KUALA TERENGGANU, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memantau rapi kesan pelepasan air di Empangan Jajar, Besut yang dijalankan awal pagi tadi.
Pengarahnya Osman Abdullah berkata proses pelepasan air di empangan berkenaan telah dilaksanakan oleh Projek Kawasan Bersepadu (IADA) Kawasan Pembangunan Pertanian Terenggganu Utara (KETARA) susulan cuaca buruk serta peningkatan paras air di hulu Sungai Besut.
Beliau berkata proses berkenaan dilakukan secara berperingkat dan kesan peningkatan aliran akan melibatkan beberapa tempat di hilir Sungai Besut iaitu Kampung Amir, Kampung Nangka, Kampung Lampu dan Kampung Pinang.
"Pelepasan air di Empangan Jajar bermula pagi tadi di keempat-empat pintu dengan bukaan 40 peratus pada 3 pagi, meningkat kepada 60 peratus dan 80 peratus kira-kira 11 pagi.
"Pelepasan (air) akan memberi kesan kepada aliran di kawasan hilir. Bacaan aras air di Jambatan Jertih telah meningkat ke paras waspada iaitu 6.2 meter pada 1 tengah hari dan pergerakan ke Pengkalan Nangka pada 4 petang," katanya ketika dihubungi.
Osman berkata bagaimanapun penduduk di daerah Besut terutama di sekitar Empangan Jajar tidak perlu risau kerana pihak JPS akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa.
"Sebarang pelepasan air dibuat mengikut standard prosedur operasi (SOP) yang ketat bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelancaran air sungai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial