AM > BERITA

Wanita Tabah Urus Suami Lumpuh, Anak Istimewa Di PPS

27/11/2025 02:11 PM

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Bagi sebahagian penduduk di sini, banjir sudah seakan menjadi  rutin tahunan, namun ujian yang dilalui seorang wanita dari Kampung Pulau Belacan, Panchor jauh lebih berat apabila terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama suami yang terlantar uzur dan seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU).

Che Sarimah Che Soh, 60, berkata dia bersama keluarga berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting selepas air mula memasuki rumah mereka sehingga mencecah paras pinggang susulan hujan lebat berterusan pada Jumaat.

“Saya sudah biasa dengan banjir, tetapi kali ini lebih mencabar kerana perlu menguruskan suami, Abdullah Ahmed, 70, yang lumpuh dan anak sulung saya, Muhammad Arif, 25, yang menghidap sindrom Down,” katanya kepada Bernama di PPS berkenaan di sini.

Beliau berkata mereka sekeluarga bersyukur apabila anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba tepat pada masanya untuk mengangkat suaminya keluar dari rumah ketika air naik dengan cepat.

Che Sarimah berkata beliau juga lega keperluan asas seperti makanan, selimut dan rawatan perubatan sentiasa disediakan di PPS.

“Setiap hari ada doktor datang memeriksa keadaan mangsa yang uzur, termasuk suami saya. Ini sangat memudahkan kerana saya tidak perlu ke klinik untuk menukar tiub susu suami,” katanya.

Menurut ibu lima anak itu, suaminya yang terlantar sejak tiga tahun lepas memerlukan penjagaan penuh, termasuk pemberian susu khas setiap empat jam serta penukaran lampin dan beg kencing dengan pada masa yang sama, anaknya Muhammad Arif mudah cemas apabila berhadapan orang ramai.

“Saya perlu sentiasa ada di sisi mereka. Mujurlah anak kedua saya, Nor Alya, 23, turut membantu menguruskan kedua-duanya di sini,” katanya.

Che Sarimah berharap banjir segera surut supaya mereka dapat pulang dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Buat masa ini, kami berteduh di PPS demi keselamatan. Apabila air sudah benar-benar surut, barulah kami boleh kembali ke rumah,” katanya.

Sementara itu, di PPS SK Sabak, di sini, petugas dan mangsa banjir memilih untuk memasak secara bergotong-royong sejak 23 Nov bagi mempercepatkan proses penyediaan makanan selain turut mengeratkan hubungan sesama mereka.

Penghulu Mukim Sabak Mohd Abdul Bashir Zakaria berkata semua mangsa di PPS itu terdiri daripada penduduk Kampung Pulau Gajah, Tebing Tinggi, Sabak dan kawasan sekitar Pengkalan Chepa.

Beliau berkata bahan mentah seperti ayam, daging, ikan dan telur dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala tugas memasak dilakukan sepenuhnya oleh mangsa banjir dengan setiap keluarga diminta menghantar seorang wakil untuk membantu memasak yang melibatkan lebih lima sajian disediakan dalam sehari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan