AM > BERITA

PRN Sabah Lubuk Rezeki Peniaga Medan Selera Di Kinabatangan

28/11/2025 02:55 PM

KINABATANGAN, 28 Nov (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bukan sahaja menjadi medan persaingan antara calon bertanding untuk memikat hati pengundi malah turut membuka peluang rezeki kepada peniaga kecil sepanjang tempoh kempen.

Situasi itu jelas dirasai oleh peniaga dan pekerja di Medan Selera Kota Kinabatangan yang menikmati pertambahan pelanggan susulan kehadiran orang ramai ke kawasan tersebut.

Zahida Roslan, 27, berkata sebelum itu, pendapatan harian gerainya yang menyediakan hidangan nasi lemak, nasi kuning dan nasi campur adalah sekitar RM300 namun pada musim pilihan raya ini, jumlah tersebut boleh mencecah RM600 sehari.

Dia berkata medan selera itu menjadi tumpuan persinggahan orang ramai sepanjang tempoh kempen khususnya mereka yang dalam perjalanan ke Tawau dari Sandakan atau Kota Kinabalu.

“Memang sepanjang musim pilihan raya ini, kehadiran pelanggan meningkat sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada peniaga kecil seperti kami,” katanya kepada Bernama.

Bagi pekerja gerai Fatimah Apang, 53, medan selera itu biasanya agak sunyi namun sejak kempen PRN Sabah ke-17 bermula, ramai pengunjung singgah untuk menikmati hidangan di kawasan tersebut.

Dia berkata pendapatan mereka meningkat kepada lebih RM300 berbanding sekitar RM150 sebelum ini.

Fatimah berkata peniaga di situ turut menerima tempahan pek makanan daripada parti politik yang mengadakan program di Dataran Kinabatangan yang terletak bersebelahan medan selera tersebut.

“Baru-baru ini, majikan saya menerima tempahan 400 pek makanan daripada parti politik yang mengadakan program di kawasan sekitar,” katanya.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri berlangsung Sabtu ini.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan