AM > BERITA

Beberapa Daerah Di Kelantan Dijangka Dilanda Banjir Mulai Esok - JPS

29/11/2025 12:02 AM

KOTA BHARU, 28 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangkakan kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan rendah dan berisiko di Kelantan susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) memaklumkan ramalan itu meliputi hari ini hingga Ahad dengan pemantauan rapi sedang dijalankan di semua lembangan sungai utama.  

“Kawasan yang berisiko merangkumi 10 jajahan, melibatkan lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Semerak dan cabang-cabangnya,” menurut PRABN.

Antara jajahan yang terlibat adalah Pasir Mas melibatkan lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok, Pasir Puteh melibatkan lembangan Sungai Semerak dan Sungai Tasik, Kota Bharu melibatkan lembangan Sungai Kemasin, Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Datu dan Sungai Pengkalan Chepa

Berikutan itu, Bachok melibatkan lembangan Sungai Semerak termasuk Sungai Kemasin dan Sungai Melor, Kuala Krai melibatkan lembangan Sungai Kelantan merangkumi Sungai Lebir, Nal, Galas dan Pahi.

Tumpat melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Tumpat, Jeli melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Pergau, Machang melibatkan lembangan Sungai Kelantan termasuk Sungai Sat dan Sungai Kemubu.

Ekoran itu, Tanah Merah melibatkan lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Lanas dan Gua Musang melibatkan lembangan Sungai Kelantan merangkumi Sungai Nenggiri, Chiku, Aring dan Lebir.

PRABN dalam kenyataan memaklumkan banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan bergantung kepada intensiti hujan semasa. 

Sehubungan itu, maklumat lanjut dan amaran semasa boleh diperoleh melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan