AM > BERITA

MCMC Perkasa Keselamatan Dalam Talian, Kesan 957 Kes Kandungan Jelik Kanak-Kanak Sejak 2024

03/12/2025 01:13 PM

CYBERJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengesan sebanyak 957 kes kandungan jelik kanak-kanak di media sosial dalam tempoh 1 Jan 2024 hingga 30 Nov 2025.

Daripada jumlah itu, 899 kandungan berjaya diturunkan oleh platform media sosial, mencatatkan kadar pematuhan 94 peratus, dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok, dan Facebook.

Dalam usaha mengutamakan keselamatan kanak-kanak dalam talian, MCMC memaklumkan kerjasama penguatkuasaan turut dipergiat melalui operasi bersama pihak polis. Op Pedo 1.0 pada Dis 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 (22–30 Sept 2025), yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi, termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Dalam aspek pendidikan awam, Kempen Internet Selamat (KIS) terus dipergiat dan terkini telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan, melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti.

Menurut MCMC, persiapan bagi pelaksanaan  Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 juga sedang dilaksanakan.

MCMC turut memaklumkan persiapan bagi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 sedang dijalankan.

Inisiatif KIS 2.0 pada 2026 akan menumpukan kepada peningkatan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa. Sejajar pelaksanaan ONSA 2025, suruhanjaya itu memberi tumpuan kepada instrumen subsidiari bagi memperkukuh kewajipan Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pendekatan baharu ini meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan, termasuk pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan terhadap kandungan memudaratkan.

“MCMC kekal komited memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian melalui kawal selia yang tegas, penguatkuasaan bersepadu dan pendidikan masyarakat yang berterusan,” kata MCMC.

ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah, kandungan sumbang, dan kandungan berkaitan kemudaratan diri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan