AM > BERITA

SPRM Sasar Kerjasama Lebih Teratur Dengan Wartawan Jenayah Menerusi CIJA

06/12/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) mampu membuka ruang kerjasama lebih tersusun antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pengamal media meja jenayah, kata Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Hisyam Mohd Yusoff.

Beliau berkata SPRM melihat CiJA sebagai pemangkin meningkatkan ketepatan pelaporan, selain memastikan sensitiviti operasi terpelihara kerana wartawan meja jenayah merupakan kumpulan yang paling banyak melaporkan isu berkaitan pencegahan rasuah.

“Melalui kerjasama di platform ini penyampaian maklumat antirasuah dapat dilakukan dengan lebih tepat, pantas dan profesional.

“Pada masa sama CiJA boleh membantu agar mesej pencegahan rasuah, trend jenayah dan modus operandi semasa disampaikan kepada masyarakat secara lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi CiJA untuk mengulas kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama CiJA yang berlangsung semalam.

Hisyam berkata SPRM turut terbuka memberikan latihan kepada wartawan meliputi aspek etika, undang-undang serta pemahaman Akta SPRM 2009 bagi memperkukuh profesionalisme wartawan jenayah.

Beliau dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada kepimpinan CiJA yang baharu dilantik iaitu Safeek Affendy Razali (Berita Harian) sebagai Presiden, Hafidzul Hilmi (Harian Metro) dan Maszureen Hadzman (Utusan Malaysia) sebagai Timbalan Presiden 1 dan 2, manakala Farik Zolkepli (The Star) sebagai Bendahari dan Nuraina Hanis Abd Halim (Utusan Malaysia) sebagai Setiausaha.

CiJA turut menamakan tujuh ahli jawatankuasa termasuk Ketua Meja Jenayah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengalu-alukan penubuhan CiJA dan menggalakkan ahlinya untuk menerokai bidang kewartawanan penyiasatan. 

Beliau berkata SPRM bersedia menyediakan latihan berkaitan prosedur siasatan, teknik asas penyiasatan jenayah, undang-undang jenayah asas, serta kaedah temu bual, sebagai pendedahan kepada wartawan yang berminat menceburi bidang laporan penyiasatan. 

“Pemahaman yang lebih baik dalam bidang ini akan meningkatkan keupayaan mereka membongkar isu jenayah dan menyediakan maklumat yang tepat kepada orang ramai sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat melalui laporan yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan