JOHOR BAHRU, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak 611 perajurit muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menamatkan Kursus Asas Tentera Laut (KATL) di Padang Kawad KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Kota Tinggi hari ini.
Upacara Perbarisan Tamat Latihan Siri 229/25 yang berlangsung penuh istiadat itu disempurnakan oleh Laksamana Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Pahlawan Abd Halim Abdul Shaari.
TLDM dalam satu kenyataan berkata majlis turut menyaksikan penganugerahan tujuh kategori kecemerlangan termasuk Divisyen Temenggong yang dinobatkan sebagai Divisyen Terbaik Keseluruhan.
Laskar Muda PLM Muhammad Alifuddin Abdul Gaffar dan Laskar Muda PNK Nur Faizah Rahaizan pula masing-masing menerima anugerah Laskar Muda Terbaik Keseluruhan Lelaki dan Wanita.
Sementara itu, Abd Halim menekankan kepentingan semangat berpasukan serta penghayatan empat nilai teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan.
“Nilai berkenaan penting bagi membentuk warga The Navy People yang terampil, berdisiplin dan berwibawa dalam usaha mencapai visi TLDM sebagai sebuah angkatan laut yang kredibel,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Halim turut merakamkan penghargaan kepada staf dan jurulatih KD Sultan Ismail serta Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TLDM atas komitmen dalam melahirkan generasi pewaris yang akan meneruskan kecemerlangan angkatan laut negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial